 |
|
Jan 13, 2006
Sudah 2 hari Iman berada di Kuala Lumpur menghadiri bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia memang minat berkarya, menulis cerpen mahupun puisi-puisi yang sekadar melahirkan perasaannya. Sekali-sekala ada juga dia menghantar karya-karya hasil penulisannya ke syarikat penerbitan majalah tempatan. Sungguh! Iman tidak menyangka sama sekali sesuatu yang hanya dianggap sebagai hobinya itu telah menarik minat pihak DBP untuk mengundang dirinya menyertai bengkel yang berlangsung selama 3 hari itu secara percuma.
Iman masih menunggu kedatangan Imran Haziq untuk menjemputnya. Hari ini dia meminta Haziq menjemputnya di Sogo. Sebenarnya, bukan niat Iman untuk menyusahkan lelaki itu. Pada mulanya, dia hanya meminta pertolongan untuk mencarikan dirinya hotel penginapan yang berdekatan dengan DBP selama dia di KL ini. Namun, Haziq berkeras supaya dia menginap di rumah ibubapanya di Ampang Jaya. Kalaulah Fatin berada di tanah air, Iman pasti dia tidak akan sekali-sekali menyusahkan lelaki itu.
Ismail? Oh, dia tidak pernah terfikir untuk meminta bantuan lelaki itu. Semenjak bertunangan, Iman tidak lagi menghubungi Ismail apatah lagi memaklumkan kedatangannya ke ibu kota ini. Hanya Ismail yang selalu menghubungi dirinya. Kalau ‘mood’nya baik Iman akan menjawab dan kalau tidak dia hanya memandang sepi pada setiap deringan telepon daripada lelaki itu. Perbualan mereka juga sudah tidak semesra dulu. Acapkali juga Ismail berang namun, dia tidak pernah ambil peduli. Ingin mengungkapkan kebenaran dia masih belum dikurniakan kekuatan. Sampai bila? Iman sendiri tidak pasti.
“Hei… Iman, awak buat apa kat sini?” Tiba-tiba ada suara lelaki menyapa telinga Iman.
“Hah! Awak???” Iman benar-benar tersentak. Mulutnya ternganga luas. Seketika, tubuh badannya bergetar hebat.
“Iman… saya tanya ni, awak buat apa kat sini?”
“Saya… saya… err… saya tengah tunggu… tunggu kawan datang jemput.” Jawab Iman.
“Kawan?”
Sekilas Iman membuang pandang ke atas jalan raya yang sibuk, melihat kalau-kalau Haziq sudah tiba untuk menjemputnya. Kereta bertali arus, namun tiada satu pun yang berhenti dipinggir jalan. Mana Haziq ni?
“Kawan?” Sekali lagi pertanyaan itu diulang sebut.
Iman mengangguk pasti. Dia mengukir senyuman lantaran orang yang di nanti sudah pun sampai. Haziq melambai tangan dari dalam keretanya. Iman bingkas, dia perlu cepat beredar, bukan mengelak diri tapi, kereta Haziq tidak boleh berlama berhenti di situ, melanggar peraturan lalu lintas!
“Err… saya pergi dulu ya, assalamualaikum.” Ucap Iman seraya mengorak langkah meninggalkan lelaki itu tercengang-cengang sendiri.
Iman diserbu rasa bersalah namun, di pihak yang satu lagi dia mengeluh lega. Mungkin pertemuan ini mempunyai hikmah, alasan untuk meleraikan hubungan mereka. Dia rela dipandang serong, tidak setia mahupun dianggap curang sekalipun oleh lelaki itu. Biarlah, lelaki itu berhak untuk menuduhnya begitu. Dan, Iman tidak perlu takut jauh sekali untuk menerangkan apa yang di lihat oleh lelaki itu mahupun menjelaskan hubungan dirinya dengan jejaka di sebelahnya ini. Iman tidak perlu bersusah payah untuk membersihkan harga dirinya pada lelaki itu. Yang tersurat sudah nyata lalu, biarlah yang tersirat itu tersimpul erat.
“Iman, apa yang ditermenungkan lagi tu?” Tanya Haziq. Iman tersenyum kelat.
“Siapa lelaki tadi tu? Kalau tak silap macam muka kawan awak yang saya jumpa dekat Pudu dulu tu kan?” Tanya Haziq lagi.
“Erm. Kebetulan terserempak dengan dia masa saya tunggu awak tadi. Awak tu janji nak jemput saya pukul 5.30pm, tengok pukul berapa awak sampai tadi?” Jawab Iman.
“Oh. Ingatkan awak memang berjanji nak jumpa dia. Tu yang suruh saya jemput dekat Sogo. Maaflah sebab lambat, ada kerja sikit tadi.”
“Taklah, kebetulan ajer. Saya pergi Sogo sebab nak beli ni. Cantik tak?” Jawab Iman seraya menunjukkan beberapa barangan di ribaannya.
“Cantik. Untuk siapa ni?” Tanya Haziq, tangannya mencapai satu bungkusan di tangan Iman, dibelek-belek sambil menunggu lampu trafik bertukar hijau.
Iman mengukir senyuman kecil. Kotak berbalut sampul berwarna biru lembut itu mengandungi sesuatu yang dibeli khas untuk ‘Abang’nya. Entah mengapa tiba-tiba saja fikirannya terlintas untuk membelikan sesuatu untuk si dia.
“Untuk siapa? Untuk saya? Atau, untuk…” Usik Haziq, ekor matanya melirik ke arah Iman, gadis itu tersenyum malu, wajahnya sedikit merona. Cantik! Desis hati Haziq.
Sementara itu, di dalam kereta di bahagian bawah tempat parking di pusat membeli-belah Sogo, seorang jejaka sedang bergelut dengan perasaannya sendiri. Tubuhnya bergetar, wajahnya tegang, telinganya merah menahan rasa. Dia benar-benar cemburu, hatinya mendongkol marah, tangannya beberapa kali melepaskan tumbukkan kuat di stereng kereta sekalian mengundang banyak mata dan jelingan tajam manusia-manusia hairan. Ah, dia tidak pernah peduli, banyak persoalan lain yang bermain di fikirannya saat ini.
‘Kenapa mesti lelaki itu? Kenapa bukan aku?’
‘Kenapa lelaki itu yang menjemputnya? Kenapa bukan aku? Kenapa tak naik teksi saja? Bus? LRT? Komuter? Monorel? Kenapa?’
‘Kenapa mesti menginap di rumah lelaki itu? Bukankah sepatutnya di hotel? Rumah Fatin? Rumah aku?’
‘Apa hubungannya dengan lelaki itu? Macam mana hubungan aku dengan dia? Apa kesudahannya?’
‘Atau, ada sesuatu yang aku tidak tahu? Atau…’
“Ismail!!!” Jeritan seorang wanita berserta ketukan yang bertalu-talu di cermin tingkap kereta menyedarkan Ismail. Cepat-cepat dia keluar dari kereta.
“Ismail… Ismail… apa yang kamu menungkan sampai umi panggil banyak kali pun tak dengar ni, hah?” Ujar Pn. Dewi Fauziah.
“Tak ada apalah umi. Umi tu lama sangat shopping, penat Ismail tunggu tau. Tu yang sampai tertidur tadi.” Balas Ismail sambil membantu Pn. Dewi Fauziah memasukkan barangan yang di beli ke dalam bonet kereta.
“Hai… selalu tu tak pernah pulak merungut, sepuluh jam pun sanggup tunggu. Tup-tup hari ni kata penat, nak duduk bertapa dalam kereta pulak, adalah yang tak kena tu.” Bebel Pn. Dewi Fauziah lagi.
“Hish… umi ni, Ismail biasa ajer, mana ada apa-apa pun.”
“Tak payah nak bohong dengan umi, tengok muka kamu yang monyok, telinga kamu yang merah tu pun umi dah tahu Ismail… Marah dengan siapa ni, hmm? Balik nanti cerita kat umi, ya Ismail sayang…?”
“Erm... baiklah puan. Boleh kita balik sekarang?”
“Ok, jalan.” Arah Pn. Dewi Fauziah.
Ismail hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Sesekali, bibirnya menyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan lagu dari corong radio, menutupi kegundahan hatinya saat itu. Di matanya terbayangkan wajah Iman yang ketara serba-salah sebentar tadi, berselang-seli dengan pandangan tajam milik lelaki dari sebalik cermin kereta yang berhenti di pinggir jalan.
“Eh tadikan, umi macam nampak kawan kamu Iman. Tapi, tak tahulah betul ke tidak. Mungkin pelanduk dua serupa agaknya. Mata umi ni dah kelabu, bukannya nampak sangat.” Ujar Pn. Dewi Fauziah tiba-tiba. Ismail pura-pura tidak dengar.
Posted at 11:36 am by ElleaNur
Permalink
Jan 4, 2006
BPB_39 :: JANJI DIPADU ::
Sah kini dia sudah pun menjadi tunangan orang. Sebentar tadi pihak keluarga lelaki baru saja pulang setelah sempurna adat menyarung cincin tanda di jari Iman. Tidak ramai tetamu yang diundang lantaran majlisnya hanya secara kecil-kecilan sahaja. Wakil pihak lelaki juga hanya sekadar sebuah kereta termasuk Pak Samad dan Makcik Zubaidah. Namun, Iman bersyukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar. Keriangan jelas terpancar di wajah tua ibunya.
Iman memerhati wajahnya di cermin. Solekkan di muka masih tidak dibersihkan. Sanggul rambutnya masih rapi, kurung sutera thai berwarna putih gading masih membaluti tubuhnya. Warna-warni yang tercorak di luaran tidak seceria apa yang ada di dalam hatinya saat itu. Iman kecewa, namun itu semua sudah tidak bererti lagi. Ikatan sudah tersimpul, janji sudah dipadu. Kini, dia hanya menunggu waktu, menanti detik ijab dan kabul untuk disatukan.
"Kak Aina, apa yang di termenungkan lagi tu? Teringat tunang tersayang ke?" Tegur Irma.
Sedari tadi dia memerhatikan kakaknya itu. Wajah itu langsung tidak ceria selayak orang lain yang bertunangan. Tidak gembirakah Kak Aina dengan pertunangan itu? Tapi mengapa? Mungkinkah ada sesuatu yang di sembunyikan dari pengetahuannya?
"Kenapa Kak Aina? Akak tak gembira ke? Bukankah ibu kata akak suka sama suka, jadi apa masalahnya?" Tanya Irma cuba menyiasat.
Iman tersenyum kecil. Tidak menidak juga tidak mengiyakan. Aku suka sama suka? Ah, mungkin ibu mempunyai alasan tersendiri sehingga memberitahu begitu kepada Irma juga Kak Ain. Tidak mengapa, mungkin nanti doa ibu itu akan termakbul. Semoga pintu hatinya akan terbuka untuk menerima lelaki itu. Dia juga akan cuba membajai ikatan mereka seikhlasnya.
"Bukan tidak gembira Irma, cuma… Kak Aina rasa macam tak percaya sudah menjadi tunangan orang. Irma tak rasa pelik ke, tiba-tiba ajer akak bertunang? Semalam dan hari ini sungguh berbeza Irma..." Balas Iman menutupi kegundahan hatinya.
"Eh, pelik apa pulak, Irma gembira lagi adalah. Akhirnya, kakak Irma yang comel ni dah pun berpunya. Eee… tak sabar pulak rasanya nak jumpa bakal suami akak tu. Handsome kan dia kak? Ganteng!" Jawab Irma ceria.
"handsome? Ganteng? Mana Irma tahu ni?" Tanya Iman pelik.
Dia sebagai tunangan lelaki itu sedikit pun tidak tahu inikan pula adiknya yang selama ini duduk di Melaka. Sungguh menghairankan! Atau, mungkin juga mereka sudah bertemu barangkali. Hanya aku yang masih tidak tahu menahu perihal lelaki itu.
"Lah, takkanlah buah hati sendiri handsome pun tak tahu kot… Irma tahulah. Memang sesuai sangatlah dengan akak ni. Macam pinang di belah dua gamaknya." Usik Irma.
"Hah, iyerlah tu… entah-entah macam pinang terbelah tiga!" Balas Iman mendatar.
"Hish… Kak Aina ni, ada pulak macam tu. Betul apa Irma cakap. Kak Aina dengan si dia sama cantik sama padan…" Tekan Irma. Iman buat muka selamba mendengar kata-kata pujian dari adiknya itu.
Sekali lagi Irma memerhati raut wajah kakaknya itu di cermin solek. Solekan nipis ternyata menyerlahkan lagi kecantikkan Kak Aina. Sememangnya, di antara mereka bertiga, Kak Aina dikurniakan wajah yang menawan, wajahnya bujur sirih, kulit juga bersih, putih kemerahan. Siapa jua yang memandang pasti terpaut. Sedikit waktu dulu, dia sendiri cukup irihati dengan kelebihan yang dimiliki oleh gadis itu namun kini, Irma akur dengan kurniaan Tuhan kepada setiap insan.
Mereka berdua saling berpandangan melalui cermin. Irma memainkan keningnya nakal. Iman tersenyum sumbing. Bunyian handphone Iman tanda mesej masuk melebarkan lagi senyuman di bibir Irma.
"Hah, tunggu apalagi. Cepatlah Kak buka, mesti tunang tersayang yang hantar mesej tu. Bukalah cepat kak... " Sergah Irma tatkala didapati Iman masih membatu diri.
Mana mungkin tunangannya itu mahu menghantar SMS kepadanya. Semenjak lamaran dihantar dan diterima belum sekalipun lelaki itu menghubungi Iman berkenalan mahupun bertanya khabar. Entah-entah lelaki itu juga sama seperti dirinya, hanya menurut kehendak orang tua. Kalaulah begitu, sungguh malang nasib dirinya. Iman mengeluh seraya mencapai handphone di atas meja solek.
'A'kum. Aina terima kasih kerana menerima diri ini. Tidak sabar rasanya utk bertemu Aina-Abang.'
Ternyata telahan Irma betul. Baru kini lelaki itu mahu menonjolkan diri walaupun bukan dengan menunjukkan wajahnya. Perlukah dia membalas mesej tunangannya itu?
"Hah, balaslah cepat kak. Kesian En. Abang awak tu." Ujar Irma seraya berlalu keluar.
'Erm… welcome.'
'Itu jer? Tak rindu kat Abang? I miss U sayang…'
Sayang! Belum pernah bertemu sudah bersayang-sayang. Sayangkah lelaki kepada dirinya? . Tidak sampai sehari bertunangan sudah membahasakan dirinya 'Abang'. Tidak malukah lelaki itu? Iman membiarkan mesej itu tidak berbalas.
Tapi, benarkah lelaki itu benar-benar menerima Iman sebagai tunangan. Oh, nampaknya hanya dia yang tidak ikhlas menyimpulkan ikatan ini. Iman mengeluh lega, setidak-tidaknya dia tahu lelaki itu menerima dirinya bukan kerana paksaan mahupun aturan keluarga. Iman tidak bimbang akan dirinya, dia akan sedaya upaya merawat luka di hatinya demi lelaki itu. Kasih akan segera dipupuk. Dia tidak akan sesekali memalukan ibu, maruah keluarganya lebih tinggi nilainya dari segalanya.
Iman menekan-nekan papan kekunci handphone untuk menyimpan nombor telepon tunangannya itu. Tapi, siapa ya nama yang perlu dia letak? Ah, sehingga sudah sah bertunangan pun dia masih tidak tahu nama lelaki itu! Apa jenis punya tunanglah dia ini…
'ABANG???' Akhirnya Iman menaip sebaris abjad itu.
"Abang…" Iman mengungkapkannya penuh perasaan. Latihan praktikal, Iman tersenyum gelihati.
Bagaimanalah rupa bentuk wajah dan fizikal 'Encik Abang' nya itu. Kacakkah seperti yang dikatakan oleh Irma? Kalau betullah, itu merupakan satu bonus untuknya walaupun bukan itu yang di harapkan Iman. Memadailah jika lelaki itu seorang yang bertanggungjawab, jujur dan menghormati dirinya sebagai seorang wanita. Selebihnya dia berharap agar ada keserasian di antara mereka. Itu saja.
Posted at 04:32 pm by ElleaNur
Permalink
Dec 23, 2005
BPB_38 :: NOKTAH HIDUP ::
Telepon dipegang kejap. Satu persatu nombor lelaki itu di dail. Seketika talian mula bersambung. Iman menarik nafas tinggi sebelum dihembus perlahan-lahan. Percubaannya yang pertama hampa, telinganya di sajikan dengan lagu ‘Jujur’ dari kumpulan Radja sebelum di bawa ke peti simpanan suara. Iman membatalkan panggilan. Ke manakah perginya lelaki itu? Dia mencuba sekali lagi, sekali lagi lagu kegemaran Ismail itu menjadi halwa telinganya.
“Ismailll…” Iman menjerit geram. Dia mundar-mandir di dalam bilik, seminit kemudian dia mendail sekali lagi. Iman menghela nafas lega kerana talian berjawab.
“Hello, Assalamualaikum, Ismail awak di mana ni? Kenapa dah dua kali saya called awak tak jawab?” Laju Iman memulakan bicara, nadanya berbaur geram.
“Waalaikumsalam, er… Ismail tengah mandi. Ini uminya, siapa ni ya?” Suara seorang wanita tiba-tiba menjawab telepon milik Ismail Syafiq.
“Er… maaf makcik saya ingatkan Ismail yang jawab tadi. Saya Iman Nuraina, kawan Ismail makcik. Makcik apa khabar?” Balas Iman sekadar berbasa-basi juga untuk menutup kegopohannya tadi.
“Tak mengapa. Oh, inilah Iman ya, alhamdulillah makcik sihat. Iman pulak bagaimana, sihat? Bila nak datang rumah makcik?” Tanya wanita itu ramah.
“Ya, Alhamdulillah, saya sihat makcik. InsyaAllah, panjang umur saya datang nanti makcik.” Jawab Iman.
“Iman, sebentar ya, makcik panggilkan Ismail.”
“Iman, ada apa sayang? Rindu kat saya ya?” Ismail berkata ceria. Bahu Pn. Dewi Fauziah dipeluk rapat.
“Ismail… saya… saya…”
“Iman? Kenapa ni? Ada apa sayang?” Tanya Ismail sedikit cemas.
“Ismail, awak… awak betul-betul sukakan saya, ikhlas menyayangi diri saya?” Terluah ayat pertama yang di rangka semenjak tadi.
“Kenapa ni Iman? Of course saya ikhlas sayangkan awak. Awak masih tak percayakan saya lagi. Iman… hanya awak yang saya sayang, hanya Iman Nuraina di hati saya. Percayalah. Iman any problem, hmm?” Tanya Ismail Syafiq.
Ismail mengenyit mata nakal ke arah Pn. Dewi Fauziah yang masih memasang telinga mendengari perbualannya. Sesekali dia tersenyum simpul, menjeling penuh makna ke arah wanita separuh abad itu. Dia mengaduh kecil tatkala wanita itu mencubit lengannya.
“Iman… tell me sayang…” Pujuk Ismail tatkala mendapati gadis itu masih membisu di hujung talian.
“Erm… tapi, saya tak tahu nak cakap macam mana, saya… saya… err… Ismail tak mengapalah, nanti bila senang… saya bagi tahu ya.” Iman pantas mematikan talian.
Dan, Ismail hanya mampu mengerutkan dahi, menjungkit bahu ke arah uminya. Dia mengeluh hampa. Iman… Iman… entah apalah yang ingin diperkatakan oleh gadis pujaannya itu. Dia tidak perlu bimbang, lambat laun pasti gadis itu akan memberitahunya.
Iman terduduk lemah di birai katil. Sebentar tadi dia begitu berkobar-kobar, tekadnya bulat. Tapi entah mengapa seketika tadi, kekuatannya seakan hilang untuk memberitahu Ismail. Dia benar-benar malu. Tidak tergamak rasanya untuk meluahkan hajat di hatinya saat itu. Lidahnya tiba-tiba seakan kelu padahal dia sudah mengumpul seberapa banyak kekuatan sebelum bertindak mendail nombor lelaki itu. Apa yang dirangka di fikiran sudah bertaburan. Iman menahan perasaan namun, airmata akhirnya berjuraian juga, meleleh membasahi pipi.
Mungkinkah semangatnya terbang sebaik mendengar suara ibu Ismail, wanita itu kelihatan agak terperanjat apabila dia mengenalkan diri sebentar tadi. Walau suara dan intonasi wanita itu kelihatan baik dan mesra namun, Iman masih ragu-ragu dengan penerimaan keluarga Ismail terhadap dirinya. Tentu ibu Ismail akan menganggapnya sebagai perempuan yang tidak tahu malu, tiada maruah kerana meminta anak lelaki wanita itu mengahwini dirinya. Iman mengeluh lega, mujur dia tidak bertindak terburu-buru memberitahu Ismail sebentar tadi.
Tapi, mengapa dia yang terpilih? Kenapa cubaan hidupnya begini? Mengapa laluan hidupnya begitu? Mengapa tidak orang lain? Mengapa dan kenapa semuanya hanya dia? Mengapa??? Hatinya menjerit, mindanya menolak, jasadnya meronta.
Astaghfirullah… Iman baru tersedar, mengapa mesti dia mengeluh dan mempersoalkan ketentuan Tuhan? Siapa dirinya untuk menolak takdir Tuhan, menongkah arus kehidupan? Iman terbaring longlai. Akhirnya dia berserah. Biarlah, Iman redha kalau lelaki itu sememangnya bukan ditakdirkan untuk berdampingan dengannya. Takdir. Ya, Iman percaya akan hakikat yang satu itu.
Iman bingkas. Ada sesuatu yang ingin di laksanakan saat ini sebelum keputusan dinoktahkan. Iman mendail nombor telepon Kak Ain. Setelah berbual dan berbincang hampir setengah jam dia mendail pula nombor telepon Irma. Adiknya itu hanya menurut dan menyokong setiap yang di keutarakan olehnya. Sebaik mematikan talian Iman tersenyum puas. Segalanya akan berjalan lancar. Dia akan segera menguruskan segalanya secepat mungkin. Mungkin ini adalah hadiah yang ternilai untuk wanita itu dan kepuasan bagi dirinya sendiri sebelum dia mendirikan rumahtangga. Nampaknya, Iman perlu mengatur kembali rencana hidupnya selepas menjadi tunangan si dia…
Si dia? Ah, siapa pun yang akan menjadi tunangan mahupun suaminya kelak akan di terima dengan hati terbuka. Walau hatinya terluka namun dia perlu redha dengan ketentuan takdir Tuhan. Antara dua lelaki itu pasti salah seorangnya mempunyai peluang untuk mendapat perempuan yang lebih baik daripada dirinya. Dan, dia hanya mampu mendoakan kebahagiaan untuk mereka.
Sudah beberapa malam Iman melakukan solat istikharah dan hari ini dia mula menyimpulkan sebuah keputusan. Iman mula membayangkan lelaki tanpa wajah mahupun nama itu. Dia malas hendak menyoal siasat, membayangkan bentuk fizikal, melihat gambar mahupun bertanya nama. Lantaklah, belum ada pun orang mati kerana terkejut melihat bakal suaminya sendiri, pengsan barangkali juga. Lamaran diterima. Noktah!
Posted at 06:32 pm by ElleaNur
Permalink
Dec 15, 2005
BPB_37 :: SEANDAINYA BISA... ::
Hati yang gundah sekali lagi membawa Iman ke pantai itu. Sudah agak lama kakinya tidak bermain dengan pasir putih mahupun mengira bebuih ombak di situ. Nampaknya, air lautan yang tenang tidak mampu menenangkan hatinya. Sepoi angin yang mengusutkan rambutnya tidak sekusut fikirannya saat itu. Dia masih berfikir dan terus berfikir. Perbualan dengan ibunya awal minggu ini sentiasa bermain di mindanya. Apa yang harus dia lakukan. Sungguh! inilah keputusan yang paling sukar sepanjang hidupnya. Keputusannya merupakan satu perjudian hidup. Silap langkah pasti kecundang!
“Ibu hanya nak menyampaikan hajat orang. Tadi petang Pak Samad dengan Makcik Zubaidah datang. Aina kenalkan mereka berdua tu?”
“Erm, kenal. Hajat apa tu bu?” Tanya Iman. Pasangan itu sangat baik dengan keluarganya tambahan pula mereka tidak dikurniakan cahayamata.
“Mereka bertanyakan kamu untuk anak sedaranya. Ibu tak bagi kata putus, ibu nak tanya kamu dulu. Mereka nak jawapan secepat mungkin. Kalau Aina setuju, ibu ingat nak buat majlis sekali dengan Kak Ain hujung tahun nanti.” Iman kehilangan kata mendengar bicara ibunya itu.
“Aina belum bersedia lagi bu. Aina tak kenal siapa lelaki tu, lagipun Aina…”
Haruskah dia memberitahu ibunya yang hatinya kini sudah dimiliki, akan kecewakah ibu? Tapi, memang benar dia belum bersedia untuk ke arah itu. Dia mungkin sudah menjadi tunangan ataupun isteri Ismail saat ini seandainya menerima lamaran kali pertama dari lelaki itu di awal perkenalan mereka. Tapi, dia tidak mahu terburu-buru lalu, dengan cara baik dia menolak. Memang dia memasang impian untuk bernikah dengan lelaki yang dikasihi, memiliki anak-anak yang comel, hidup berumahtangga yang harmoni tapi, bukanlah dalam masa yang terdekat ini. Lagipun, dia masih muda, baru nak masuk…
“Umur kamu sudah 25 tahun Aina, apa lagi yang kamu tunggu? Atau kamu sudah ada pilihan sendiri, budak lelaki yang hari itu ke? Siapa namanya? Hah Ismail, beritahu dia suruh datang pinang kamu cepat, kalau tidak ibu terima pinangan Pak Samad tu.” Ujar ibu mendatar sekali.
Ibunya memang mengenali Ismail. Sudah beberapakali lelaki itu mengunjungi rumahnya. Iman memperkenalkan lelaki itu sebagai kawan baiknya kepada ibu. Ibu pula tidak pernah mempersoalkan hubungan yang wujud di antara mereka namun, Iman tahu wanita itu sebenarnya tahu akan adanya jalinan istimewa di antara dirinya dengan Ismail Syafiq. Tapi mengapa saat ini ibunya seolah-olah tidak memahami apa yang ada di hatinya? Oh ibu, mengertilah…
“Berikan Aina masa bu, Aina janji akan memberikan jawapan secepat mungkin.” Iman membalas perlahan.
“Baiklah. Tapi ingat, walau menolak pinangan Pak Samad tak bermakna Aina tidak perlu berkahwin. Majlisnya tetap juga hujung tahun ini.” Ibunya berkata selamba sebelum menghilangkan diri di dalam biliknya.
Iman tercengang. Ya Tuhan… Apa pilihan yang dia ada? Memang ibunya memberi pilihan, dia boleh menolak pinangan Pak Samad tapi, pilihan yang satu lagi juga menjerat, dia tetap perlu berkahwin dengan Ismail Syafiq atau sesiapa jua yang di perkenalkan kepada ibunya. Kak Ain yang sudah bertunang dengan jejaka dari Melaka akan melangsungkan perkahwinan mereka hujung tahun ini. Ini bermakna, dia juga akan berkahwin pada hari dan majlis yang sama. Iman cukup kenal dengan ibunya, wanita itu tidak pernah bermain-main dengan kata-kata, setiap bicara akan dikotakan. Sudah tidak sayangkah ibu pada dirinya? Mungkinkah ibu sudah tidak menginginkan dia di rumah itu? Tapi, hubungan mereka baru saja kembali mesra. Dia masih belum puas bermanja dengan wanita itu. Huwaaa… Iman rasa seperti mahu menangis tapi, kenapa airmatanya bagaikan tidak mahu keluar???
Sudah seminggu namun, dia masih tidak memberikan sebarang keputusan kepada ibunya. Wanita itu sudah mula bertanya akan keputusannya. Dia sudah kehabisan idea untuk melarikan diri sedangkan dia sendiri tahu tidak selamanya dia dapat mengelakkan diri dari memberikan jawapan. Apa yang perlu Iman lakukan? Otaknya bagai dibekukan dari membuat sebarang keputusan.
‘Ismail… will you marry me?’
‘Ismail… saya nak kahwin dengan awak. Bagaimana kalau awak hantar rombongan meminang ke rumah saya. Saya pasti terima.’
‘Ismail… kahwinlah dengan saya. Saya tidak mahu hidup bersama lelaki itu… saya tidak kenal dia… saya hanya mahukan awak.’
‘Ismail… errr…’
Oh… Iman benar-benar tidak sanggup!
Wajarkah? Patut ke? Dia sebagai seorang perempuan meminta pihak lelaki mengahwini dirinya??? Ingin sekali dia mengutarakan hasrat hati kepada Ismail tapi… dia segan setelah berkali-kali menolak lamaran dari lelaki itu. Bagaimana dengan penerimaan keluarga Ismail? Pasti mereka mengatakan dirinya gadis yang tiada harga diri. Iman malu! Lagi pula, belum seorang pun ahli keluarga lelaki itu yang dia kenali, Ismail tidak pernah sekalipun menceritakan mengenai keluarganya. Atau, mungkin… dia sendiri yang tidak pernah mahu bertanya.
Tapi, dia perlukan jawapan yang secepat mungkin! Ibunya sudah tidak mampu bersabar lagi. Hari-hari bertanya, pantang nampak wajah mahupun kelibat dirinya. Pak Samad dan Makcik Zubaidah juga begitu, bagaikan mereka pula yang hendak kahwin! Ghairah, macamlah mereka itu ibu bapa pengantin lelaki sendiri, macamlah hanya dia gadis yang ada di dunia ini! Macamlah…
Ah… andai bisa terbang, ingin saja dia terbang tinggi meredah langit yang membiru, menyembunyikan diri di sebalik putihnya awan. Andai saja lautan tidak bertepi, ingin dia menenggelamkan diri, biar terbenam di dasar dari terdampar di tepian pantai. Andai dunia ini miliknya dan Ismail… ah, mana mungkin itu terjadi.
Keputusan perlu dinoktahkan. Seandainya Ismail menerima, dia bersyukur walau hatinya masih jua belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Dan, seandainya lelaki itu menolak, dia mengira persetujuannya di pihak yang satu lagi adalah satu pengorbanan yang besar untuk ibunya. Iman mula memujuk hati, mungkin percaturan hidupnya ini mempunyai hikmah yang dia sendiri tidak ketahui. Iman nekad, walau apapun keputusan yang bakal terpacul dari mulutnya nanti dia pasrah.
Iman mula mengorak langkah, perlahan menyusur tepian pantai. Sesekali dia berhenti bermain air juga mengira bebuih ombak yang cantik memutih di permukaan lautan. Hanya itu yang mampu melekakan perasaannya. Biarlah, Iman senang sekali walau ianya hanya untuk seketika cuma.
Posted at 01:15 pm by ElleaNur
Permalink
Dec 9, 2005
BPB_36 :: SEKADAR MENGUJI ::
Iman memerhatikan gelagat pengunjung dari dalam bilik pejabatnya. Pembeli datang silih berganti di hujung minggu begini. Sesekali dia tersenyum gelihati tatkala ada ragam pelanggan yang mencuit hatinya. Kelihatan Saiful sibuk di kaunter manakala Amira dan Sufi pula sedang mengambil pesanan pelanggan. Pandangan Iman beralih ke muka pintu café, kelihatan empat orang wanita sedang melangkah masuk. Seorang kelihatan sudah separuh abad manakala yang tiga orang lagi dalam lingkungan 30-an. Melihatkan tiada orang yang memberikan layanan kepada mereka Iman bingkas bangun lalu keluar mendapatkan pelanggan tersebut.
“Assalamualaikum, selamat petang, makcik, kakak-kakak. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Sapa Iman mesra.
Senyuman manis dihadiahkan kepada mereka berempat. Wanita-wanita itu saling memandang di antara satu sama lain sebelum mengangguk sedikit dan membalas senyuman Iman. Mereka berempat kemudiannya mengambil tempat duduk. Salah seorang dari wanita muda itu meninjau-ninjau ke rak yang menempatkan pelbagai jenis roti dan kek manakala yang bertiga lagi lebih senang membuat pesanan melalui keratan menu yang tersedia di atas meja. Setelah mengambil pesanan Iman berlalu ke ruangan dapur.
“Mira nanti kalau Kak Milah sudah siap, Mira tolong hantarkan kat meja hujung sana tu ya. Akak ada kerja nak buat.” Pesan Iman. Amira mengangguk kecil lalu memandang ke arah meja yang dimaksudkan oleh Iman itu.
“Selamat menjamu selera puan, makcik-makcik semua.” Kata Amira. Hidangan yang di pesan di letakkan di atas meja.
“Sibuk nampak hari ini? Banyak kerja ya?” Tanya salah seorang daripada mereka.
“Biasalah, hari-hari pun memang macam ni. Awak semua pun apa kurangnya. Macam mana, setakat ni puas hati tak?” Tanya Amira selamba. Keempat-empat wanita itu mengangguk serentak dan tersengih memandang Amira.
“Saya bukannya nak layanan dari awak, kenapa awak pulak yang hantar? Kenapa bukan dia?” Tanya wanita separuh abad itu.
“Oh, dia sibuk, ada kerja sikit kat dalam tu Puan. Tak mengapa, saya di sini sedia membantu. Ada apa-apa lagi yang awak semua nak tanya pasal dia?” Balas Amira, wajahnya selamba.
“Oh, tak ada, terima kasih banyak-banyak atas kerjasama awak ya. Tapi, boleh awak suruh dia keluar sekejap tak? Awak buatlah apa-apa helah, boleh?” Tanya wanita yang paling muda pula.
“Ok, no problem! Saya panggilkan dia sekarang, tapi ingat, jangan lebih-lebih ya. Kalau kantol saya tak nak bertanggungjawab!” Jawab Amira lalu beredar dari situ. Ada sesuatu yang ingin dihamburkannya. Dia sudah tidak dapat menahan diri lagi.
“Kak Aina, tolong jagakan kat depan sekejap, tak ada oranglah, Mira nak gi toilet jap.” Sempat Amira berhenti di depan bilik pejabat Iman sebelum berlari laju menuju ke arah toilet.
Iman duduk di kaunter sambil membelek-belek majalah ‘Remaja’ kepunyaan Sufi. Tiada pelanggan baru yang datang lalu dia hanya perlu memerhatikan saja. Semua pelanggan yang ada sibuk menikmati juadah. Senyuman manis tidak lokek di hadiahkan setiap kali matanya bertemu pandang dengan pelanggan yang ada di café itu.
“Maaf dik, toilet di mana?” Tiba-tiba Iman di sapa oleh salah seorang pelanggan wanita tadi.
“Erm, akak masuk ikut pintu ni, lepas tu belok sebelah kanan.” Terang Iman.
“Ok thanks. Err… dik makcik kat meja akak tu panggil, dia nak tambah pesanan agaknya.” Kata wanita itu sebelum berlalu.
Tanpa berlengah Iman pergi mendapatkan pelanggan di meja itu. Nampaknya, wanita tua itu sungguh cerewet, banyak kompelin dan banyak pulak cakapnya. Wanita yang berdua lagi itu lebih senang memerhati dan hanya sekali-sekala mencelah. Namun, Iman masih mampu tersenyum, dia sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Melayani kerenah pelanggan yang pelbagai ragam adalah asam garam dalam hidupnya.
“Kampung’s Spagetti… yang ini sedap ke?” Tanya wanita tua itu.
“Hish, umi ni… cubalah dulu, baru tahu sedap ke tidak. Kan dik?” Tegur seorang dari wanita di meja itu. Iman pantas mengalih pandangan ke wajah itu, cantik. Mesti anak wanita tua ini agaknya.
“Tapi, kalau awak yang buatkan untuk makcik mesti sedap, kan?” Ujar ‘Umi’ itu. Aduh, wanita ini betul-betul mengujinya.
“Saya tak boleh nak cakap sedap ataupun tidak sebabnya semuanya terpulang kepada orang yang merasanya. Tapi, kebanyakkan pelanggan café ni memberi pujian akan keenakkan hidangan ini walau bukan saya yang membuatnya makcik.” Terang Iman.
“Oh… kalau yang ini pulak, sedap? Banyak orang buat kadang-kadang rasa manis sangat, tak boleh nak telan tekak makcik ni.” Ujar wanita itu merujuk kepada hidangan Puding Kastad pula. Oh, itu pencuci mulut kegemaran si ‘Dia’. Iman tersenyum kecil.
“Apa kata kalau makcik cuba dulu, mahu?” Cadang Iman.
“Erm, baiklah. Sekali dengan Kampung’s Spagetti tu ya. Makcik nak awak sendiri yang buat tau.” Pesan ‘umi’ itu mengingatkannya.
Fikiran Iman melayang kepada Ismail, hanya lelaki itu, satu-satunya pelanggan yang sehingga kini meminta dirinya menyediakan hidangan itu. Tapi, hari ini bertambah pula seorang lagi. Hidangan yang dipesan pun sama dengan Ismail. Oh, nampaknya dia boleh membuka cafe sendiri selepas ini. Iman tersenyum gelihati sebelum berlalu pergi.
Sementara itu, di dalam toilet Amira sedang berbual di telepon dengan seseorang setelah puas menghamburkan ketawanya sebentar tadi.
“Ha, ha, ha… klakar Papa Is… yang Amir tak boleh tahan tu tengok Oma, serius habis muka dia. Makcik-makcik yang bertiga tu pun boleh tahan jugak. Macam Charlies Angel pulak! La ni tak tahu ar apa diorang tengah buat dekat depan tu. Habis ar Mama Iman…” Laju Amira bercerita. Lelaki di hujung talian hanya menadah telinga, sesekali dia turut menghamburkan gelakkan yang kuat.
“Mama? Hu..hu.. doktor tu dah boleh tukar profession jadi PI, Papa Is…”
“Auch!!!” Amira terjerit tiba-tiba. Telinganya dipiat oleh seseorang. Handphone nya di rampas.
“Oooo… di sini rupanya awak ya! Siapa yang macam Charlies Angel, siapa yang tukar profession jadi PI, hmm?”
“Alamak mama! Aduh sakitttt… Papa Is… tolong Amir Papa Is… tengok mama ni… auch, Papa Isss…” Amira mengaduh panjang. Ismail yang terdengar di hujung talian tergelak kuat.
“Ismail, Dengar apa yang Kak Long nak cakapkan ni!”
Posted at 10:43 am by ElleaNur
Permalink
Dec 6, 2005
BPB_35 :: HARUSKAH AKU? ::
Ismail Syafiq dalam perjalanan untuk menjemput Iman. Entah apa mimpi lelaki itu datang ke Johor semata-mata mahu Iman menemani dirinya membelikan hadiah harijadi untuk anak sedaranya. Pada mulanya dia tidak bersetuju memandangkan majlis itu akan di adakan bulan depan, mereka masih punya banyak waktu untuk itu. Ismail memberikan pelbagai alasan yang akhirnya turut memerangkap dirinya, mereka berdua di landa rasa yang sama. Seperti yang di janjikan menerusi telepon sebentar tadi, Ismail sudah pun menunggu di dalam keretanya di seberang jalan.
Ismail tersenyum manis memerhati buah hatinya melangkah keluar dari pintu café. Tidak sabar rasanya hendak menatap wajah polos itu. Ismail tahu Iman tidak sedar yang dirinya sedang di perhatikan olehnya mahupun oleh sepasang mata yang sedari tadi mengintai dirinya dari sebalik bidai café itu. Amira memberi isyarat jarinya yang hanya di fahami oleh Ismail tapi dengan selamba dia menjelir lidah ke arah gadis itu. Kini, hubungan mereka bukan lagi rahsia bagi warga kerja Seri’s Backery N Café, tambahan pula hampir setiap dua minggu pasti wajah Ismail akan terjengul di tempat itu.
“Oh, dah pandai menggatal ya, awak main mata dengan siapa tu, hmm?” Tegur Iman sebaik ternampak lelaki itu mengenyit mata nakal kepada seseorang.
“Budak tu cute kan Iman? Saya sukalah tengok muka dia, macam ada chemistry pulak rasanya. Muka dia dengan saya pun hampir sama, kan? Awak tak rasa ke kalau di antara kami ni… ada hubungan apa-apa?” Kata Ismail dengan senyuman nakal, tulunjuknya mengarah mata Iman kepada kelibat Amira.
“Erm iyalah tu. Hari tu kenapa tak ngurat dia aje? Dia pun suka kat awak tau.” Balas Iman mendatar, masih tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata Ismail itu.
Ismail berusaha menyembunyikan senyumannya. Dia tahu, Iman di landa cemburu dengan kenyataannya tadi tapi dia tidak peduli. Sebenarnya, Ismail cuba untuk memberitahu Iman akan perkara yang sebenar mengenai Amira tapi, sehingga hari ini masih belum berhasil. Amira pula, semenjak akhir-akhir ini kerap mendesak dirinya kerana gadis itu sudah tidak mahu terusan bersekongkol dengan dirinya lagi. Sebentar tadi pun, gadis itu sempat mengingatkan dirinya, malah pesanan-pesanan SMS mengenai perkara yang sama juga memenuhi ‘inbox’ nya.
“Iman, cemburu ya, hmm? Takkan dengan budak tu pun awak nak cemburu. Iman… itu tandanya awak sayangkan saya kan?” Iman mencebik bibir, bukan cemburu tetapi saja menunjukkan tanda tidak senang begitu.
“Eleh… saya tahu. Bukankah cemburu itu tandanya sayang, tak gitu? Iman, hanya awak di hati saya, percayalah. Awaklah jantung hati saya… awaklah intan payung saya…” Ismail berkata selamba, matanya merenung seketika ke wajah yang sangat di rinduinya sebelum memulakan pemanduan.
“Ismail, kalau awak letih, biar saya yang drive.” Ismail pantas menggeleng, tangan kirinya menggenggam jemari Iman.
“Ismail, anak sedara awak tu lelaki ke perempuan? Umurnya berapa? Awak nak bagi hadiah apa?” Tanya Iman.
Mereka berdua menuju ke Plaza Pelangi. Setelah mendengar serba sedikit penjelasan daripada Ismail mengenai anak sedaranya yang akan menyambut ulang tahun, Iman mencadangkan agar mereka ke pusat membeli-belah itu. Dia dan Fatin selalu ke situ seandainya ingin membeli sesuatu atau sekadar berjalan-jalan di hujung minggu.
“Bungkuskan yang ini satu lagi ya dik. Gunakan sampul yang sama pun tak apa.” Ujar Iman kepada promoter jualan di kaunter kosmetik Estee Lauder itu.
“Awak nak bagi siapa?” Tanya Ismail pelik.
“Budak cute yang awak suka tadi tulah.” Jawab Iman. Ismail hanya mengangguk kecil. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Ya, saat itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ismail mengukir senyuman lega.
Iman membelek 2 kotak hadiah bersampul merah jambu. Kedudukan reben pun sama. Dia membelikan hadiah yang serupa untuk Amira. Sebenarnya, sudah lama dia berkira-kira untuk menghadiahkan gadis itu sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang mencerminkan ciri-ciri seorang perempuan lalu dia memilih haruman itu. Bukankah wangian sinonim dengan kaum perempuan? Ismail ingin membayar tapi, dia menolak. Walau sedikit mahal namun, dia berpuas hati dengan hadiah yang bakal di berikan kepada gadis yang sudah di anggap seperti adiknya sendiri. Luar dan dalam serupa! Sehati sejiwakah mereka? Wajah Ismail diperhati lama. Iman tersenyum kecil sementara Ismail di sebelahnya tenang meneruskan pemanduan.
“Iman, kenapa tersenyum-senyum ni, hmm?” Tanya Ismail. Sedari tadi dia perasan yang gadis itu asyik tersenyum, bagaikan ada sesuatu yang menarik minta gadis itu ke atas hadiah yang dibeleknya itu.
“Tak ada apalah. Saya cuma rasa macam tak sabar aje nak bagi hadiah ni kat budak tu. Harap-harap dia sukalah ya. Erm… Ismail, agak-agak awak anak sedara awak suka tak hadiah yang saya pilih ni?” Tanya Iman.
“Eh, mestilah. Papa Is… err… uncle Ismail dia yang bagi, mestilah dia suka. Kalau dia tahu awak yang pilihkan lagilah dia suka, entah-entah siap berlonjak gembira gitu.” Jawab Ismail cuba menutupi kekalutan dirinya sebentar tadi.
“Eleh, iyerlah tu. Ismail, anak sedara awak ramai ya, mesti seronok, kan?” Tanya Iman sekalian membayangkan keceriaan hidup lelaki di sebelahnya jika mereka berkumpul.
“Erm, seronok. Nanti saya kenalkan mereka semua degan awak, ya?” Ujar Ismail. Iman mengangguk kecil.
Mereka menghabiskan masa sepanjang petang dengan bersiar-siar di sekitar Danga Bay. Menikmati pemandangan lautan menjelang senja. Seketika mereka hanyut di dalam khayalan masing-masing. Udara laut yang dingin selepas hujan sedikit mencengkam urat sendi.
“Iman, sejuk? Marilah duduk sebelah saya, biar saya peluk awak.” Kata Ismail selamba.
“Mengada!” Protes Iman, Ismail pula tergelak besar mengundang beberapa pasang mata pelanggan di restoran yang mengadap selat tebrau itu.
“Mengada apa pulak. Takkan nak bermanja dengan buah hati saya sendiri pun tak boleh. Dari jauh saya datang semata-mata untuk bersama awak tau. Iman sinilah…” Ujar Ismail seraya mendapatkan jemari Iman.
“Ismail… bukan masa dan tempatnya, ok? Pukul berapa awak nak balik KL esok?” Tanya Iman sekalian menarik jemarinya dari genggaman Ismail.
“So, bila masa dan di mana tempatnya, hmm?” Tanya Ismail laju. Jemari Iman ditarik kembali. Mata bundar Iman di renung penuh menggoda, sengaja menduga riaksi gadis itu.
“Ismail…” Gumam Iman geram, wajahnya merona pekat.
“Ok, ok. Kalau awak dah tak sudi nak tengok muka saya, esok… lepas subuh saya baliklah.” Tutur Ismail mendatar, jemari Iman dilepaskan.
“Ismail, bukan macam tu, lusa awak kerja kan, lagipun next month kita jumpa lagi. Jomlah kita balik, dah nak masuk waktu maghrib ni. Ismail...” Iman memujuk, tangan Ismail di tarik supaya lelaki itu bangun.
Ismail merenung wajah Iman tanpa berkelip. Dia masih tidak mahu berganjak dari situ. Tangan Iman di tarik kuat memaksa gadis itu kembali terduduk, kini betul-betul di sisinya, rapat sekali. Dengusan nafas Ismail menyapa telinga Iman, sedikit kasar namun mampu meremangkan bulu romanya. Iman menarik nafas perlahan, cuba menenangkan dirinya, dia benar-benar tidak faham dengan sikap Ismail hari ini. Mesti ada sesuatu yang mengganggu fikiran lelaki itu.
“Saya tahu, tapi kalau boleh hari-hari saya nak jumpa awak. Saya akan merindui awak Iman… saya tak boleh hidup tanpa awak, I love you so much, Iman...” Bisik Ismail romantis, menghadiahkan sebuah ciuman di jemari runcing Iman. Ah! Lelaki itu, begitu mudah meluahkan perasaannya.
“Ismail…” Iman bersuara lemah, nafasnya bagaikan terhenti.
Sebenarnya, Iman ingin sekali membalas ungkapan Ismail betapa dia juga begitu menyayangi lelaki itu. Tapi, entahlah… bagaikan ada sesuatu yang menghalang dirinya untuk meluahkan. Namun, matanya tidak pernah menipu. Renungannya penuh kasih, pandangannya melontarkan rasa sayang yang tidak terucap. Hatinya berlagu setiapkali mengingatkan Ismail, bahasa tubuhnya manja tatkala berada dekat dengan lelaki itu. Bukan mengada-ngada, merendahkan maruah diri jauh sekali tapi, hakikat setiap wanita sememangnya dilahirkan begitu. Iman masih mampu menghadkan sempadan, menggariskan panduan di dalam setiap pehubungan mereka. Wajah tua ibu bagaikan sempadan, nasihat ibu dijadikan panduan. Hukum-hakam juga tidak pernah dilupakan.
“Iman… bagaimana kalau… kalau kita kahwin?” Ungkap Ismail tiba-tiba.
“Ismail!!!” Jerit Iman, dia bengang, lagi-lagi hal itu yang bangkitkan!
Ismail tersenyum pahit, dia tahu Iman pasti marah tatkala dia membangkitkan isu itu. Sudah acapkali dia menyuarakan hasrat murninya untuk menyunting gadis itu, membina ikatan yang sepatutnya, juga menghalalkan setiap perhubungan mereka. Bukan tidak sabar, dia percayakan Iman tapi, Ismail tidak percaya akan dirinya sendiri. Keimanannya tidak kuat, hampir-hampir saja goyah setiap kali berada dekat dengan gadis itu. Namun, Iman bagaikan tidak mengerti, masih lagi memberikan alasan yang sama, belum bersedia ke arah itu. Menurut Iman, masih banyak impian dan cita-cita yang belum di capainya. Sungguh! Ismail sudah mencuba pelbagai cara, dia hampir ketandusan idea untuk memujuk Iman. Namun, dia tidak akan sesekali mengalah. Akan di usahakan sehingga Iman akhirnya bersetuju untuk menjadi isterinya yang sah.
Iman termagu di ruang tamu, persoalan itu masih lagi bermain di fikirannya. Ismail Syafiq sekali lagi melamarnya. Perlukah dia mempertimbangkan lamaran yang entah sudah untuk kali yang ke berapa itu. Ismail, lelaki itu bagaikan tidak dapat menahan perasaannya, sentiasa mengungkapkan rasa sayang dan rindu yang mencengkam hati lelakinya terhadap Iman. Kadangkala Iman jadi takut, benarkah Ismail menyintai dirinya, dia bimbang di permainkan sedangkan hatinya kini sarat dengan kasih sayang terhadap lelaki itu. Kini, dia sudah tidak lagi keliru, perasaannya jitu, setianya hanya untuk lelaki yang bernama Ismail Syafiq itu. Tapi, bagaimana dengan Ismail, akan setiakan lelaki itu kepada dirinya?
‘When I saw you, I’m afraid to talk to you, when I talk to you, I’m afraid to hold you, when I hold you, I’m afraid to love you, when I love you, I’m afraid to lose you…’
Iman meluahkan rasa hatinya saat itu melalui SMS kepada talian Ismail. Sesaat terus mendapat balasan.
'You will not going to lose me sayang, I promise that.’
Posted at 12:17 pm by ElleaNur
Permalink
Nov 30, 2005
BPB_34 :: HADIRMU KU NANTI ::
Ismail Syafiq bersiul-siul kecil menuruni anak tangga. Rambut ikalnya disisir rapi, sepasang T-Shirt Ferrari merah dipadankan dengan sehelai jeans Levis berwarna biru sudah mampu menyerlahkan ketampanannya. Sebuah bagasi kecil jenama Samsonite berwarna hitam yang di jinjing di letakkan di ruang tamu. Kemudian dia berlari anak ke ruang makan untuk bersarapan pagi. Abah dan uminya sudah sedia menunggu dirinya di ruangan itu.
“Ya Allah kamu ni Ismail macam budak kecik ajer umi tengok. Awak tu dah dekat 30 tahun, kalau iya pun tak sabar nak jumpa buah hati janganlah terkejar-kejar macam ni. Cuba bawak bersabar sikit.” Bebel Pn. Dewi Fauziah. Dia menggeleng kepala melihat telatah anak bujangnya yang satu itu.
“Kenapa umi tak kejutkan Is tadi? Kan dah terlambat. Patutnya lepas subuh tadi Is dah bertolak, waktu sekarang ni dah boleh jumpa Iman tau.” Jawabnya seraya mula menyuap nasi goreng ke mulut.
“Dah orang tu tidur mati, takut pulak umi nak kacau. Kan abahnya?”
“Erm... siapa suruh kamu tidur lewat? Bergayut tak habis-habis. Kami dulu pun bercinta jugak tapi tak adalah kemaruk macam kamu ni Ismail, kan Dewi?” Tambah Tn. Ibrahim pula. Sedari tadi dia hanya mendengari perbualan dua beranak itu dari sebalik akhbar yang di baca.
“Ha’ah. Kami dulu kenal sekejap terus bawak datang jumpa family, bertunang sebulan dua terus menikah. Yang kamu ni Ismail entah bila agaknya nak kenalkan dia dengan kami semua? Kak Ngah dah tak sabar-sabar nak jumpa buah hati kamu tu. Kak Chik pun sibuk bertanya dengan umi, siapa nama bakal adik ipar dia, cantik tak? Baik tak? Hah, dengan Kak Long yang kat Jb pun kamu tak kenalkan lagi ya Ismail. Sampai bila kamu nak berahsia ni Ismail…”
Pn. Dewi Fauziah memerhati wajah ceria Ismail. Ternyata anak terunanya itu sedang di asyik di lamun cinta. Menurut Amira, hubungan Ismail dengan gadis itu bertambah rapat. Sebagai ibu dia turut merasa gembira dengan perkembangan terbaru itu. Tidak sabar rasanya ingin bertemu muka dengan calon menantu perempuannya itu. Penilaian melalui sekeping gambar masih tidak mencukupi bagi dirinya. Pn. Dewi Fauziah ingin melihat sendiri peribadi gadis yang bernama Iman Nuraina itu. Apa Istimewanya gadis itu sehingga berjaya memikat hati Ismail, membuat anak teruna itu angau tidak keruan setiap masa.
Sebenarnya, Pn. Dewi Fauziah begitu ghairah untuk memiliki anak menantu perempuan tetapi sengaja dipendamnya. Kegembiraan jiran tetangganya yang menceritakan perihal menantu perempuan masing-masing melonjakkan lagi perasaannya. Namun, mengenangkan hubungan anaknya dengan gadis itu yang baru saja berkembang, Pn. Dewi Fauziah tidak mahu memaksa. Biarlah segalanya di tentukan oleh Ismail dan gadis itu sendiri. Tentu pasangan itu lebih mengetahui arah tujuan hubungan mereka yang sebenar. Jodoh pertemuan segalanya di tangan Tuhan. Namun, dia begitu berharap agar Ismail menemui jodohnya dalam masa yang terdekat ini.
“Orang dulu bercinta tak sama dengan zaman sekarang. Dulu mana ada handphone, mana boleh SMS-SMS. Lagipun, orang dulu tu... malas nak tulis surat selalu, tu yang umi dengan abah kahwin cepat..." Ujar Ismail selamba dengan gelakkan yang agak kuat. Tn. Ibrahim berdehem tetapi langsung tidak di hiraukan oleh Ismail.
"Habis tu, sampai bila kamu ni nak berSMS-SMS, sampai bila nak bergayut? Nak tunggu umi dengan abah tutup mata baru kamu nak kahwin, begitu?" Tanya Pn. Dewi pula. Dia geram bila Ismail bermain dengan kata-katanya.
"Ala... sabarlah mi... nanti kalau semuanya dah confirmed, Is sendiri yang bawak Iman jumpa umi, kenalkan dengan semua orang. Umi suruh Kak Long, Kak Ngah dan Kak Chik bersabar dulu, ok? Hah, lepas tu Is nak terus nikah aje, tak mahu tunang-tunang, buang masa saja, boleh umi?” Jawab Ismail seraya menyudahkan suapannya yang terakhir.
Ismail ada juga merancang untuk membawa Iman menemui umi dan keluarganya tapi dia masih belum mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Tambahan pula, jadual kerjanya semakin padat semenjak kebelakangan ini. Dalam sebulan hanya sekali dua dia dapat bertemu dengan Iman itu pun kalau kebetulan dia berada di Malaysia. Selebihnya mereka lebih banyak berhubung melalui telepon, sesekali kiriman SMS di hantar untuk meluahkan kerinduan di antara mereka berdua. Mujur juga Iman faham dengan tuntutan bidang tugasnya itu.
“Hish... budak bertuah ni, banyaklah kamu punya nikah, orang Johor tu mementingkan adat, tahu? Nak kena ada majlis merisik, kemudian bertunang lepas tu barulah boleh menikah. Bukan boleh main redah macam tu ajer, faham?” Bantah Pn. Dewi Fauziah. Ismail hanya tersengih mendengar bebelan uminya itu.
Sengaja Pn. Fauziah berkata begitu. Sebenarnya dirinya sendiri yang mahu mengadakan sebuah majlis yang sempurna untuk Ismail Syafiq. Dia sudah berpengalaman mengadakan majlis untuk tiga anak perempuannya namun belum sekalipun untuk anak lelaki kerana hanya Ismail satu-satunya anak lelaki yang dia miliki. Pn. Dewi Fauziah ingin segalanya di lakukan mengikut adat tradisi masyarakat melayu di samping sedikit adat perkahwinan Jawa, sebagaimana yang biasa di amalkan oleh masyarakat tempat kelahirannya di Jogjakarta, Indonesia. Dan, dia juga pasti pihak keluarga perempuan juga mempunyai hasrat yang sama sebagaimana dirinya.
“Oklah umi, Is faham… Boleh Ismail bertolak sekarang?”
“Erm… kirim salam dekat bakal menantu umi tu. Ingat, jangan melebih-lebih pulak bila keluar dengan anak dara orang, awak berdua belum ada lesen sah lagi, tahu?” Pesan Pn. Dewi Fauziah lagi.
“Insyaallah. Tapi, kalau pegang tangan ajer bolehkan umi?” Bisik Ismail di cuping telinga uminya. Jelingan Pn. Dewi Fauziah tidak di hiraukan, sebuah ciuman mesra di hadiahkan di pipi wanita separuh abad itu.
Suasana di café hari ini sedikit lengang. Sementara tidak ramai pelanggan yang datang berkunjung, Iman mengambil peluang untuk berbual-bual dengan Kak Milah, Mira dan Sufi. Masing-masing sibuk bercerita itu dan ini. Dari satu topik ke satu topik perbualan yang lain. Sesekali terhambur gelakkan yang agak kuat dari kelompok kecil itu.
“Kak Aina, Mira tengok muka akak semakin berseri-seri sejak akhir-akhir ni. Ada apa-apa yang kami semua tak tahu ke?” Kata Amira.
“Ha’ah Sufi pun perasan. Ceria ajer, macam orang yang sedang di lamun cinta, betul tak Kak Milah?” Sambut Sufi, Kak Milah di depannya mengiyakan.
“Tak ada apalah, mengarut. Perasaan awak semua ajer agaknya, akak biasa aje.” Iman menafikan.
Terzahirkah apa yang ada di hatinya saat ini? Mungkinkah semuanya gara-gara lelaki itu? Iman tersenyum kecil. Hatinya di buru rindu untuk menatap seraut wajah Ismail yang sering menghiasi mimpi siang dan malamnya.
“Hah, lagi nak sorok! Tu yang senyum sorang-sorang tu kenapa? Ingatkan buah hati ya, hmmm?” Ujar Sufi tiba-tiba. Kak Milah dan Mira tersenyum memerhati.
“La… takkan senyum pun salah kot? Kalau muka akak masam nanti… awak semua cakap akak ni garanglah, apalah. Sekali akak tayang muka seposen nanti baru tahu.” Balas Iman.
“Cuba Aina tayang sikit muka seposen awak tu, Kak Milah nak jugak tengok. Manalah tahu kot-kot laku, boleh jadi pelakon pembantu.” Sambut Kak Milah selamba. Sufi dan Amira ketawa mengekek.
“Alamak, tahun depanlah kak, boleh? Aina nak balik ni, ada hal sikit.” Iman beralasan.
“Ada hal ke nak jumpa buah hati?” Usik Amira, macamlah dia tak tahu apa rancangan gadis itu yang sebenarnya.
“Eh adalah, mana boleh cakap, rahsia...” Bisik Iman rapat ke telinga Amira. Sufi dan Kak Milah masing-masing kelihatan tercengang-cengang melihat kelibat Iman yang selamba melangkah pergi dari situ.
Posted at 11:50 am by ElleaNur
Permalink
Nov 18, 2005
“Yes! Yes! Yessss….” Amira menjerit girang.
Ternyata segala usaha mereka berdua selama ini akhirnya membuahkan hasil. Kebahagiaan bagi Papa Is adalah kegembiraan bagi dirinya. Tapi, mungkinkah kebahagiaan ini akan berterusan seandainya gadis itu mengetahui segalanya? Apa akan terjadi jika perkara itu terbongkar? Dia tidak boleh selamanya merahsiakan hubungan yang wujud di antara dirinya dengan Papa Is. Amira termenung di halaman rumahnya, masih memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi kelak. Dia tidak mahu hubungan baiknya dengan Kak Aina tergugat, dia sayangkan gadis itu sebagaimana dia sayangkan Kak Amanda, satu-satu kakaknya yang dia ada. Namun, kata-kata Papa Is sedikit melegakan hatinya.
“Alah… Amir jangan risau, Papa Is tahulah apa nak buat nanti. Lagipun, Papa Is tahu Mama Iman dah pun jatuh sayang kat Papa Is ni. Marah pada orang yang disayangi takkan ke mana Mir…”
“Papa Is ni macam confident jer… Mana Papa Is tahu dia sayangkan Papa Is? Entah-entah Papa Is ajer yang perasan lebih.”
“Hei cakap baik-baik sikit eh. Papa Is tahulah. Papa Is yang bercintan dengan dia tau, bukan Amir.”
Tapi, betul ke apa yang di cakapkan oleh Papa Is? Benarkah Kak Aina sudah benar-benar sayang pada lelaki itu? Cintakah Kak Aina pada Papa Is? Amira pernah juga cuba-cuba mengorek rahsia daripada Kak Aina sendiri namun, nampaknya gadis itu lebih senang mendiamkan diri. Perahsia sungguh! Susah untuk Amira percaya sepenuhnya. Bagi Papa Is memanglah, lelaki itu sayang habis kat Kak Aina tapi…
“Amira… apa yang di termenungkan lagi tu? Dah lewat malam ni kan. Siapa yang called tadi? Buah hati ke sampai buat awak tu termenung jauh, hmm?” Pertanyaan mamanya dari dalam rumah mematikan lamunannya.
“Hish mama ni buah hati apa pulak, Papa Is lah ma. Mama nak tahu tak, Papa Is kan, sekarang kan ma, dia sudah ada… ops…” Amira tidak jadi berkata, tiba-tiba dia teringat pesanan lelaki itu sebentar tadi. Papa Is melarang dia menceritakan perihal itu kepada sesiapa, sampai saatnya nanti lelaki itu sendiri yang akan mengumumkannya.
“Sudah apanya ni, hmm Amira sayang…?” Tanya mamanya seraya mengorak langkah menghampirinya di halaman. Bahu anak bongsunya itu di paut mesra.
“He he… tak ada apalah ma. Papa Is tu… dia sekarang sudah ada di KL. Lama jugak dia kan Vietnam tu, kan ma? Entah bila projek dia dekat sana nak selesai agaknya...” Jawabnya dengan sengihan manja, jauh menyimpang dari kenyataan sebenar yang cuba di beritahu kepada wanita itu sebentar tadi.
Wanita berusia 40-an itu hanya mampu menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan keakraban Amira dengan Ismail Syafiq, adik bongsunya itu. Pasti ada sesuatu rahsia yang cuba di sorokkan dari pengetahuannya. Namun, dia tidak mahu memaksa, lambat laun pasti akan terbongkar jua. Kalau tidak dari Amira pasti dari Ismail sendiri.
Sementara itu, di kediaman keluarganya di Kajang, Ismail Syafiq sedang leka melayan perasaan. Tubuh tegapnya terlentang di atas tilam empuk di bilik bujangnya. Sekejap dia tersengih, sekejapan pula dia berubah serius. Dia baru saja selesai berbual dengan buah hatinya. Sebentar tadi juga dia menghubungi Amira memaklumkan perkembangan terkini hubungannya dengan Iman Nuraina.
Usia percintaan mereka berdua bertambah matang, hubungan semakin hari semakin intim, antara mereka berdua terjalinnya ikatan batin yang kuat. Denyutan hati dan nadi mereka mengalunkan irama yang sama. Hangatnya aliran darah menyemarakkan rasa cinta mereka. Walau Iman tidak pernah menyatakan rasa hati mahupun mengungkap kata-kata cinta tapi, Ismail tahu gadis itu turut merindui dan menyayangi dirinya. Renungan sepasang mata membiaskan rasa, aura hati menggetarkan suara, tingkah manja mencerminkan segalanya. Ismail pasti!
Nampaknya, Ismail benar-benar kemaruk! Dia sentiasa merindui gadis itu, kalau boleh setiap detik yang ada di penuhi dengan wajah dan suara Iman. Sekali lagi telepon di capai, sejurus kemudian terdengar suara halus di hujung talian, perlahan sekali. Dia tahu, di waktu-waktu begini gadis itu tidak akan berkata banyak. Kadangkala, Ismail lebih rela Iman diam tidak menjawab daripada mematikan talian. Desah nafas gadis itu sudah cukup untuk mengubat rasa rindu yang bersarang di hatinya. Iman juga sudah masak dengan perangai pelik Ismail itu.
“Erm, Ismail ada apa lagi ni?” Sekilas melihat jam di tepi katil, 3.30am! Argh, Ismail selalu saja mengganggu tidur lenanya!
“Iman, saya tak sabar nak jumpa awak esok. Kalau saya bertolak sekarang… boleh?” Tanya Ismail. Kalau tidak kerana Iman menghalangnya mungkin kini dia sudah hampir sampai ke Johor Bahru dan seawal pagi mereka sudah boleh bertemu.
“No!” Bantah Iman pendek. Dia malas hendak bercakap di waktu-waktu begini.
“Bolehlah… boleh ya sayang. Iman… awak tak nak jumpa saya, awak tak rindukan saya ya, hmm?” Ujar Ismail cuba memancing persetujuan Iman.
“No! Ismail dah lewat sangat ni, kalau awak sayangkan saya, awak bertolak esok pagi!” Balas Iman sekalian mematikan talian. Matanya jadi segar tiba-tiba. Dia jadi geram tatkala Ismail buat perangai begini.
Iman sebenarnya bimbang, takut seandainya sesuatu kejadian buruk berlaku kepada lelaki itu. Kelam malam dengan keadaan mata yang mengantuk memungkinkan segalanya. Sungguh! Iman tidak mahu musibah buruk menimpa Ismail Syafiq yang mana kelak akan membuatkan dirinya sendiri menangis hiba. Rindu? Siapa kata dia tidak rindukan lelaki itu? Pertemuan terakhir mereka adalah sebulan yang lalu sebelum lelaki itu kembali berangkat ke Vietnam. Jarak waktu yang sepurnama itu sudah cukup membuatkan dia separuh mati menahan perasaan rindu. Namun, Iman masih mampu bersabar, dia tidak mahu dirinya hanyut mengikut perasaan. Hidup dan matinya bukan hanya kerana cinta kepada lelaki itu.
“Aina, kamu tak tidur lagi?” Sapaan ibunya secara tiba-tiba menyedarkan Iman. Dia yang masih bersimpuh di atas sejadah menggeleng kecil. Sebuah senyuman di hadiahkan kepada ibunya yang berdiri di muka pintu.
“Kenapa? Ada apa-apa masalah? Mahu berkongsi dengan ibu?” Soal Pn. Hasnah. Wanita itu kini duduk di birai katil. Wajah Iman di pandang penuh kasih.
“Tak ada apa-apa bu. Kebetulan Aina terjaga tadi, nanti lepas subuh Aina tidur semulalah. Ibu pulak kenapa bangun?” Tanya Iman, kepalanya yang masih di baluti telekung di lentokkan ke pangkuan ibunya.
"Samalah dengan Aina." Balas Pn. Hasnah sambil mengusap perlahan kepala anaknya itu.
Pn. Hasnah tersenyum bahagia. Kini, hubungan mereka berdua sudah semakin rapat dan bertambah mesra. Sementelah pula, hanya anak gadis itu yang tinggal dengannya buat masa ini. Anak bongsunya, Irma Liyana sudah mendapat kerja di Melaka dan menyewa rumah di sana bersama teman-temannya. Anak sulungnya, Ain Nafisa masih di Kuala Lumpur. Sungguh! Pn. Hasnah memanjatkan kesyukuran yang amat pada yang maha Esa kerana menyedarkan dirinya untuk mengasihi anak gadisnya yang satu ini. Dia tahu Aina anak yang baik, taat dan sempurna untuk seorang ibu seperti dirinya. Anak gadis itu juga mempunyai raut wajah yang manis, pasti sejuk bagi setiap mata yang memandangnya.
“Aina, bangun sayang sudah subuh ni. Aina…” Bisik Pn. Hasnah lembut di cuping telinga Iman.
“Oh… Aina terlelap rupanya. Maafkan Aina ya bu, kerana Aina ibu tak tidur.” Kata Iman serba salah, terpisat-pisat dia mencari wajah ibunya.
“Tak mengapa. Sekarang bangunlah, solat subuh, lepas tu kita sarapan bersama ya. Ibu ingat nak masak nasi lemak lauk sambal sotong kering. Mesti Aina suka kan?” Kata Pn. Hasnah.
“Erm, baiklah bu. Sekejap lagi Aina tolong ibu.” Balas Iman. Matanya mengekori langkah ibunya sebelum berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Posted at 11:59 am by ElleaNur
Permalink
Nov 16, 2005
BPB_32 :: DUA DUNIA BERBEZA ::
Hiruk-pikuk manusia yang ramai memenuhi Hentian Puduraya. Iman dan Fatin saling berpimpinan tangan menuju ke ruang platform. Ismail pula mengekori mereka berdua dari arah belakang sambil menjinjing bagasi kecil milik Iman. Sesekali lelaki itu cuba untuk memimpin tangan Iman tetapi Iman lebih pantas menepis, dia segan dengan Fatin sebenarnya. Sedari tadi sahabatnya itu lebih senang memerhatikan dirinya dengan Ismail. Menurut Fatin, dia suka sekali melihat aku bergandingan dengan lelaki itu, bagaikan ada keserasian dan persamaan di antara seorang Iman Nuraina dan Ismail Syafiq.
Iman membiarkan sahabatnya itu berbual mesra dengan Ismail lantaran dia sendiri ketiadaan idea untuk berbicara. Dia masih kaku, tidak biasa sebenarnya dengan ikatan yang baru terjalin ini. Sudahnya, dia hanya menjadi pendengar dan hanya sesekali mencelah perbualan antara Ismail dan Fatin yang sememangnya peramah orangnya itu. Sahabatnya itu tidak pernah penat bertanya itu dan ini pada Ismail, lagaknya bagaikan seorang inspektor polis, menyiasat dan terus menyiasat. Kadangkala, ada di antara soalan-soalannya yang turut menjerat Iman dan Ismail sendiri. Tapi, Iman tidak pernah marah, sememangnya itulah diri Fatin Najwa yang sebenarnya, telus dan berterus terang orangnya.
Bas ke Johor Bahru hanya akan bertolak dalam masa kurang sejam. Fatin sudah pun meminta diri untuk pulang. Kini, hanya dia dan Ismail di situ. Iman berfikir-fikir, cuba menyusun kata.
“Iman.” Panggil Ismail sepatah. Belum sempat Iman menjawab telepon di genggamannya berbunyi.
“Hello… Waalaikumsalam. Erm… ya aku still kat Pudu lagi ni. Kenapa?” Iman menjawab seraya berdiri dan berjalan beberapa langkah ke depan. Ismail hanya memerhati dan cuba mencuri dengar perbualan Iman dengan pemanggil di hujung talian.
“Apa? Kau nak jumpa aku? Dah ada kat sini? Erm… ok, ok, aku ada kat platform 13 ni. Ok, baiklah aku tunggu. Erm… ok, bye, waalaikumsalam.” Iman mematikan talian.
“Siapa called?” Tanya Ismail pantas. Sekali lagi, belum sempat Iman kembali duduk dan menjawab pertanyaan Ismail, Haziq sudah pun berada di depannya.
“Hai.” Sapa Haziq dengan wajah ceria. Iman hanya membalas dengan senyuman kecil.
“Nasib baik aku tak terlambat ek. Aku terlupa yang kau balik hari ni, nasib baik ibu aku ingatkan. Kalau tidak mesti tak dapat jumpa kau, kan.” Ujar Haziq, mengesat peluh di dahi.
“Alah… engkau memang Ziq, selalu aje lupakan aku, dari dulu lagi macam tu.” Komen Iman.
“Sorry lah bukan aku sengaja. Lagipun, dulu lain, sekarang lain, zaman lagikan berubah, inikan pula manusia Cik Iman… lagi pulak orang bujang macam aku ni, semuanya nak di ingatkan.” Haziq menjawab dalam nada bergurau.
“Erm… iyelah tu. Tapi kan, aku rasa kau ni dari dulu sampailah sekarang, macam tu jugak, selalu ajer terlupa ek. Orang tua pun ingatan diorang kuat tau Ziq. Agaknya, engkau ni banyak termakan semut kot Ziq.” Balas Iman dalam gelak tawa mesra.
Iman sudah biasa dengan suasana yang begitu apabila bertemu Haziq, saling bergurau dan ketawa mesra. Perpisahan waktu yang lama tidak menjejaskan kemesraan mereka berdua. Seketika dia jadi terlupa dengan kewujudan insan ketiga di situ. Wajah Haziq di perhati dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya.
“Hish… kau ni Iman, ada ke kata aku macam tu pulak. Anyway, ni ada ole-ole dari ibu aku untuk kau.” Haziq menghulurkan bungkusan beg plastik yang di jinjitnya sedari tadi.
“Sorrylah, aku bergurau jer tadi. Erm, apa-apa pun terima kasih ya, buat susah-susah aje ibu kau ni.” Balas Iman.
“Alah, bukan susah mana pun. Dan, yang satu lagi ni khas dari aku untuk kau.” Balas Haziq seraya menghulurkan sejambak bungan ros berwarna merah jambu. Senyuman manis tidak lekang dari wajah kacak itu. Iman terpana, wajahnya sedikit merona.
Iman mengalih pandangan ke kanan, cuba menyembunyikan rona di wajahnya. Tiba-tiba hatinya tersentap, dua pasang mata bertentangan hebat. Ya Allah, bagaimana dia boleh terlupa akan kewujudan lelaki yang satu lagi itu. Wajah itu tegang, telinganya memerah. Marahkah Ismail? Mata hitam itu menjeling tajam ke arahnya sekilas sebelum menumpukan kepada pembacaan di akhbar. Helaian akhbar berita minggu di selak agak kasar, menunjuk rasa hati yang marah barangkali. Iman menelan liur, cuba berlagak seperti biasa.
“Err… Haziq lupa pulak aku nak kenalkan dengan kau. Ini, kenalkan kawan aku Ismail Syafiq.” Tutur Iman. Wajah Haziq yang sebentar tadi penuh dengan riak ceria kembali normal, tiada lagi tawa mesra dari lelaki itu.
“Ismail, kenalkan ini kawan lama saya, Imran Haziq.” Sambung Iman. Dia memandang kedua wajah di sisi kiri dan kanannya silih berganti. Sebuah senyuman kecil terukir manis di bibir merahnya.
Haziq merapatkan langkah manakala Ismail masih lagi bungkam di kedudukannya. Iman memandang anak mata Ismail, memohon pengertian dan kerjasama dari lelaki itu. Lambat-lambat baru Ismail bingkas dan menyambut huluran salam dari Haziq. Iman menghela nafas lega. Dia maklum, Ismail pasti sedang marah dan Iman mengakui kesilapan dirinya. Tapi, dia tidak mahu Ismail bersikap dingin begitu. Dia mahu setiap temannya menjadi teman Ismail juga.
“Hai, saya Ismail Syafiq.” Hanya sebaris ayat itu yang keluar dari bibir Ismail.
Ismail tiada mood untuk berbicara lanjut apatah lagi beramah mesra dengan kawan Iman itu. Hatinya sakit, perasaan cemburunya membuak-buak, sukar untuk di bendung lalu lebih baik dia berdiam diri. Pada hakikatnya, dia seorang yang agak peramah, dia suka berkawan dan berbual mesra dengan sesiapa saja. Ismail tidak pernah membataskan had dalam pergaulan, miskin ataupun kaya kalau bersesuaian akan menjadi kenalannya. Tapi, untuk hari ini dia tidak peduli, biarlah apa jua tanggapan buruk lelaki di depannya itu.
“Erm, saya Imran Haziq.” Balas Haziq. Kedua lelaki itu ternyata agak kaku pada pandangan mata Iman.
“Oklah Iman, aku tak boleh lama-lama. Kereta aku parking kat tepi jalan aje. Nanti tak pasal-pasal kena saman pulak.” Haziq memberi alasan untuk segera pulang. Entah mengapa dia rasa tidak sedap hati. Dia dapat merasakan kelainan pada pandangan mata lelaki di sisi Iman itu. Adakah itu teman lelaki Iman? Ada sedikit kesalan di hatinya.
“Erm… ok, kirim salam kat ibu dan ayah kau ya Ziq. Cakap kat mereka, terima kasih banyak-banyak. Ada masa nanti kita jumpa lagi ya.” Balas Iman.
“Ok, take care ya.” Pesan Haziq seraya meminta diri untuk beredar.
Suasana kembali sepi di antara mereka. Iman menilik jam di tangan. Kurang setengah jam lagi dia akan bertolak. Di kerling ke arah Ismail, lelaki itu masih menatap akhbar, khusyuk sekali. Entah apa yang di beleknya sedari tadi, takkanlah setiap butir iklan pun hendak di baca. Ataupun, lelaki itu sengaja ingin mendera dirinya pula. Kebisuan Ismail menjadikan Iman tidak keruan. Iman mengeluh perlahan, menenangkan hati, dia perlu mengatakan sesuatu sebelum bertolak balik.
“Ismail…” Panggil Iman namun tiada tindak balas.
“Ismail Syafiq…” Ulang Iman. Dia merenung tajam wajah yang selamba itu, masih tiada jawapan.
“Ismail!!!” Jerit Iman agak kuat. Kali ini barulah lelaki itu menoleh ke arah wajahnya yang pasti kelihatan merah menahan marah.
“Ada apa?” Soal Ismail dengan kerutan di dahi.
“Ismail, awak marahkan saya, hmm?” Tanya Iman geram.
“Awak rasa bagaimana? Saya suka, gembira, begitu?” Sinis sekali suara Ismail. Iman menghela nafas perlahan.
“Baiklah, saya mengaku saya bersalah, saya betul-betul terlupa tadi. Maafkan saya. Ok, saya turun bawah dulu ya, assalamualaikum.” Balas Iman. Dia malas hendak memanjangkan sengketa. Ismail menyambar pantas pergelangan tangan Iman membuatkan gadis itu kembali terduduk.
“Begitu mudah? Sudahlah masa saya berbual dengan Fatin tadi awak membisukan diri tapi, bila jumpa dengan kawan awak, siapa nama dia tadi? Ziq? Haziq? Hah, rancaklah pulak berbual, ketawa riang sampai lupakan saya. Sekarang, awak nak balik macam tu aje, hmm?” Ujar Ismail geram melepaskan bahang di hatinya.
“Dah tu awak nak apa, hah? Lepaskan tangan saya!” Jawab Iman geram. Dia malu di perlakukan begitu di tempat awam yang di penuhi manusia yang tidak lepas memerhati ke arah mereta berdua.
“Bagi sini tiket awak pada saya.” Minta Ismail serius.
“Awak nak buat apa?” Pertanyaan Iman tidak di pedulikan. Tiket di tangan Iman di rampas sedikit kasar, Iman tersentak.
Iman hanya mampu ternganga melihat kelibat Ismail Syafiq hilang di celah-celah orang ramai. Dari jauh dia cuba meninjau-ninjau apa yang akan di buat oleh lelaki itu. Ismail mencari-cari nama kuanter yang tertera seperti di tiket itu. Seketika langkah Ismail berhenti di depan Kaunter Johora Ekspress. Setelah selesai urusan urusniaga dia kembali mendapatkan Iman yang pasti sedang resah menanti dirinya.
“Jom, bawa beg awak tu sekali.” Arah Ismail mencapai tangan Iman. Dia menoleh setelah di dapati Iman bungkam di kerusi.
“Iman… cepatlah.” Wajah kelat itu di renung geram. Tangan Iman di tarik supaya bingkas bangun.
“Ismail, apa awak nak buat ni? Kita nak ke mana?” Tanya Iman dengan nada yang bergetar. Dia rasa seperti mahu menangis di paksa sebegitu oleh Ismail.
“Hei… Cik Iman sayang… saya cuma tukar tiket bas awak ajerlah, bukan buat apa-apa pun. Bas awak pukul 4.30pm nanti, jadi nak buat apa tunggu lama-lama dekat sini. Faham sayang…?” Terang Ismail. Hatinya yang seketika tadi masih membara cair melihat rona keruh di wajah Iman.
Iman hanya menuruti langkah Ismail Syafiq. Bagasi kecilnya di letakkan di kaunter simpanan beg bersama-sama ole-ole pemberian Haziq. Iman masih bengang dengan tindakan Ismail yang sesuka hati menukar waktu bertolak dirinya ke Johor Bahru. Lelaki itu pula tanpa rasa bersalah memimpin Iman terus, puas dia meronta namun, sedikit pun tidak mahu di lepaskan, bimbang Iman akan berpaling barangkali. Kini, mereka berdua berada di luar Hentian Puduraya. Iman menghela nafas lega, dia sebenarnya rimas berada di dalam hentian yang ternyata sesak itu.
Ismail memaut erat pinggang ramping milik Iman. Sekilas dia menjeling wajah Iman di sisinya, dia menahan ketawa melihat muka monyok gadis itu. Rona merah jelas kelihatan, pasti Iman tidak suka di perlakukan begitu. Namun, Ismail tidak mahu ambil peduli, dengan selamba dia mendororong gadis itu mengikuti langkahnya. Ismail hanya ingin memanfaatkan waktu yang singkat ini untuk bersama-sama gadis itu. Dia hanya ingin matanya menatap wajah itu, berbual mesra sebelum Iman bertolak balik ke Johor Bahru. Kalau di ikutkan hati, mahu saja Ismail sendiri yang menghantar gadis itu pulang tapi, mengenangkan tuntutan kerja dia melupakan hasratnya itu.
Iman tidak keruan. Sebenarnya, dia masih tidak biasa dengan keadaan yang baru ini. Lidahnya kelu, tingkahnya kaku, mindanya membeku. Serbanya bagaikan tidak kena. Mungkin juga, ini adalah ‘first date’ mereka secara rasmi. Semalam dan hari ini jauh bezanya, ternyata kawan dan kekasih itu dua dunia yang berbeza. Ismail pula sudah mula menunjukkan belangnya, mula menguasai dirinya sesuka hati. Sudahnya, dia hanya mengikut langkah Ismail, sepatah yang di tanya oleh Ismail sepatah juga yang di jawabnya. Namun, dia sebenarnya senang sekali dengan layanan Ismail untuk dirinya. Setiap detik dirinya di berikan perhatian dan perlindungan, entah mengapa dia berasa selesa dan selamat berada di samping jejaka itu.
Posted at 12:51 pm by ElleaNur
Permalink
Oct 12, 2005
Iman berbaring mengiring di atas katil. Matanya memerhatikan ke arah Fatin di sebelahnya, enak melayan mimpi. Tapi, benarkah gadis itu sudah ketiduran, ataupun sekadar berpura-pura. Baru sebentar tadi mereka berborak, rancak bercerita itu dan ini sekembalinya Iman dari berjumpa Ismail Syafiq. Mungkinkah gadis itu memasang telinga mendengari perbualannya dengan Ismail? Sekali lagi wajah Fatin di belek, ada mimik nakal yang terukir, bibir itu seakan menahan senyuman. Benar telahannya, serentak kemudian ketawa Fatin meledak memecah keheningan malam.
“Fatinnnn……” Sebuah cubitan hinggap di lengan gadis yang masih lagi terkekeh-kekeh ketawa.
“Rindu… Sayang…” Fatin mengajuk cakap Iman sebentar tadi.
"Fatinnn.... kau ni memang tau!" Marah Iman bila Fatin terusan mengusik dirinya. Fatin ketawa kuat kerana tidak dapat menahan rasa gelihati melihat rona di wajah Iman.
Malu. Iman menekup mukanya dengan bantal, cuba menyembunyikan rona dan riak yang terukir di wajahnya saat itu. Fatin di sebelah terusan mengusiknya membuatkan Iman tidak keruan. Seketika, apabila keadaan kembali reda Iman bingkas bangun, memetik suis lampu lalu duduk bersila di atas katil. Ada sesuatu yang ingin di bicarakan dengan sahabatnya itu.
“Fatin, menurut kau betul ke apa yang aku buat ni ek? Err… maksud aku hubungan aku dengan Ismail, salah tak kalau aku jadi teman istimewa dia?” Tanya Iman meminta pendapat gadis itu mengenai hubungannya dengan Ismail.
“Eh betullah, apa pulak salahnya? Perasaan kau pada dia macam mana? Kau sayangkan dia? Cinta?” Balas Fatin pantas.
“Erm… sayang tu mungkin, tapi cinta tu… aku sendiri tak pasti. Kami baru saja berkenalan, bertemu pun baru beberapa kali so, tak banyak yang aku tahu mengenai dirinya. Aku kelirulah Fatin. Tapikan… aku senang sekali dengan dirinya. Serasi barangkali.” Luah Iman.
“Erm, macam tu ke? Dia handsome tak? Baik tak? Penyayang tak?” Tanya Fatin penuh minat.
“Entah, nak kata handsome, biasa saja, nak kata tak, boleh tahanlah jugak. Tapi, aku tak kisah, bukan itu ukurannya. Baik? Kalau yang itu aku tak pasti lagi tapi… di mata aku dia kelihatan ikhlas, jujur melahirkan perasaannya terhadap aku. Sayang? Erm… yang itu aku tak tahu, masih terlalu awal untuk aku menilainya.”
“Oh… like that ke? Erm, kau suka dia tak?” Ujar Fatin dengan riak nakal.
“Entah, suka jugaklah kot. Mulanya aku curiga dengan kelakuannya tapi, entahlah… tiba-tiba aku rasa macam menyesal pulak, memberi harapan pada dia sedangkan hati sendiri tidak pasti dengan perasaan aku padanya.” Terang Iman panjang, dia mengeluh perlahan.
"Tapi, kau sudah mula merindui dia kan?" Tanya Fatin lagi. Iman tidak menjawab, wajah Ismail yang terlayar di pandang penuh asyik. Ya, dia sudah berubah, berubah menjadi seekor burung pungguk, pungguk yang merindui kemunculan sang bulan.
Iman duduk memeluk lutut. Fatin di depannya terkebil-kebil memandang wajah muram Iman. Seketika, keadaan kembali senyap, seorang sedang melayan perasaan manakala seorang lagi sedang mundar-mandir, berfikir-fikir mencari ilham. Fatin menggaru-garu dagunya dengan senyuman nakal lalu duduk bersimpuh rapat di depan Iman.
“Iman, aku yakin Ismail seorang lelaki yang baik, sesuai untuk kau. Lagipun, aku rasa memang dia ikhlas menyayangi diri kau. Kalau tidak takkanlah dia beriya-iya mengekori kau sejak dulu, kan? Kau pergi tengok wayang dia jaga kaunter masuk, kau beli baju dia jadi salesman. Kau duduk kat Stulang dia jadi pemerhati. Hah, takkanlah kau masih tak percaya kat dia lagi? Atau, kau saja yang buat-buat tak faham!” Iman tersenyum kecil mendengar kata-kata Fatin yang berbaur gurauan itu.
“Lagipun pada akulah kan, biarlah kita menerima orang yang betul-betul menyintai diri kita, tak ada ruginyalah! Hati orang perempuan ni lembut Iman... senang aje nak tangkap cintan kat laki dia…”
“Erm… iyerlah, mana kau tahu senang? Kau bukan tahu perasaan aku. Lagipun, Ismail tu bukan laki aku, ada faham?” Potong Iman. Fatin tersengih manja.
“Alah… tentang perasaan kau pada dia tu, aku rasa mudah saja. Perasaan sayang itu sudah ada dalam hati kau cuma kau keliru, itu saja. Cinta boleh di pupuk Iman. Lagipun dia lelaki pertama yang hadir dalam hidup kau, kan? So, apa masalahnya?” Iman mengangguk, menerima apa yang di katakan oleh sahabatnya itu.
“Betul apa yang kau katakan Fatin, mungkin aku perlu memberikan dia peluang, memberi ruang untuk kami saling mengenali. Dan, aku sendiri akan cuba belajar untuk menerima Ismail dalam hidup aku. Tentang hubungan yang seterusnya aku serahkan kepada takdir. Aku redha jika memang jodoh aku dengan dia. Kalau tak pun, aku terima segala ketentuanNya.” Ungkap Iman penuh yakin.
“Hah, macam tulah baru Iman Nuraina, sahabat yang aku kenali. Hidup manusia ni perlu bertolak ansur, saling memberi dan menerima, barulah jodoh berkekalan. Betul tak?” Iman tersenyum mengiyakan kata-kata Fatin itu.
“Terima kasih Fatin, kaulah sahabat aku dunia akhirat.” Lirih saja bicara Iman.
Mereka berdua berpelukan erat. Buat pertama kalinya Iman menangis di bahu Fatin. Hatinya tersentuh dengan kebaikan gadis itu kepadanya semenjak sekian lama. Susah senang hidupnya sering di kongsi bersama Fatin. Suka duka dirinya juga di rasakan bersama-sama sahabatnya yang satu itu. Alangkah bertuah dirinya kerana mempunyai sahabat yang sebaik gadis itu. Dia amat menghargai setiap kasih sayang yang tercurah di dalam hidupnya. Sungguh! Iman bersyukur dengan anugerah yang satu ini.
“Err... emosinya aku.” Bisik Iman tiba-tiba, dia tersenyum malu.
“Tak apa, bukan senang aku nak tengok kau menangis begini. Sekurang-kurangnya aku terasa berguna sikit jadi kawan kau, Iman. Lagi satu, tolong jangan pendamkan apa jua masalah yang kau hadapi. Aku sedia menjadi pendengar setia kau. Aku tak nak kau sakit lagi macam hari tu. Aku takut kau tahu tak?” Pesan Fatin.
“Erm, insyaallah. Fatin, esok aku kenalkan kau dengan Ismail ya. Aku nak kau jadi orang pertama yang mengenali dirinya.” Balas Iman sedikit ceria.
“Ok, aku pun tak sabar nak berjumpa dengan lelaki yang bertuah tu. Mesti korang berdua ni secocok kan? Eee... tak sabarnya aku...” Sambut Fatin ceria.
“Entahkan bertuah, entahkan malang Fatin…” Balas Iman perlahan.
“Eh bertuahlah, apa pulak malangnya. Kau kan cantik, baik hati lagi. Dan yang paling bertuah sebab kau tu kawan aku. Sungguh, aku tumpang gembira Iman.” Fatin mencapai tangan Iman dan di genggam erat.
“Fatin, hubungan kau dengan Fikri macam mana? Semuanya baik-baik saja kan?” Tiba-tiba saja Iman teringat untuk bertanya mengenai hal itu.
“Erm, semuanya ok. Kami rancang nak bertunang dalam masa terdekat ni. Nanti aku beritahu kau ya. Kau orang yang pertama yang akan aku jemput nanti.” Iman mengangguk, sekali lagi mereka berpelukan mesra.
Sungguh! Iman turut tumpang gembira dengan kebahagiaan hidup sahabatnya itu. Dia sayangkan Fatin sebagaimana dia menyayangi ibu dan keluarganya. Kebahagian Fatin adalah kebahagian hidupnya, keceriaan Fatin adalah kegembiraan hatinya, kasih sayang Fatin memancar sinar kehidupannya. Antara mereka berdua tersimpul silaturrahim yang erat. Iman sentiasa berdoa semoga ikatan suci ini tersimpul selamanya.
Posted at 11:40 am by ElleaNur
Permalink
|
|
|
 |
 |
|  |
 |
\0_ :: WELCOME :: _0/
:: BADAI PASTI BERLALU ::
Awan hitam
Di hati yang sedang gelisah
Daun-daun berguguran
Satu-satu jatuh di pangkuan
Ku tenggelam sudah
Ke dalam dakapan
Semusim yang lalu
Sebelum ku mencapai
Langkahku yang jauh
Kini semua bukan milikku
Musim itu telah berlalu
Matahari segera berganti
Gelisahku menanti
Titis embun pagi
Tak kuasa ku memandang
Dikau matahari
Kini semua bukan milikku
Musim itu telah berlalu
Matahari segera berganti
Badai pasti berlalu
Badai pasti berlalu
Badai pasti berlalu
|
 |
 |
|  |
|
|
 |