Apr 19, 2006
BPB_50 :: END ::

:: Aku Adalah Aku, Aku Adalah AkuMU ::

Aku adalah aku
gadis biasa yang bukan siapa-siapa
Dulu, perasaanku sayu, hatiku pilu
jasadku, jiwaku tidak pernah bersatu

Namun, aku pasrah...
aku bukan anugerah yang terindah
Sedar hidup tidak selalu indah
lalu aku hanya mampu berserah

Ismail,
aku adalah aku
aku adalah akuMu...

*****

Aku adalah akumu
lelaki yang kecewa kerana cinta
Kini, jasadku bangkit, hatiku ghairah kilauan permata
aku memburu walau silau menyukarkan

Namun, akhirnya...
aku tersenyum dengan satu anugerah
Hidup ini ternyata indah
kerana aku tidak pernah mengalah

Iman,
aku adalah aku
aku adalah akuMu...

~ElleaNur06~


Posted at 12:35 pm by ElleaNur
Comments (4)  

BPB_49 :: BERAKHIRNYA SEBUAH DUKA ::

Matanya leka memerhati keindahan lautan yang terbentang, bebuih ombak yang memutih. Kepalanya lentok elok di atas bahu sasa itu, jemarinya mengait mesra jemari kasar itu. Kakinya menguis memainkan pasir pantai. Mindanya memainkan kembali kejadian sebentar yang lalu. Sesekali bibirnya mengukir senyuman, sesekali juga wajahnya merona merah menzahirkan betapa malunya tatkala teringatkan perlakuan dan tutur kasarnya terhadap lelaki itu. Tapi, kejadian itu semua bukan juga salah dirinya seorang, apa yang pasti lelaki itulah puncanya. Tapi, takdir dan keadaan juga sudah menentukan perjalanan cerita hidupnya begitu lalu untuk apa dia terusan menyalahkan orang lain.

 

“Auch… mak kau sakitnya! Hei… tak baik tahu buat begini pada tunang sendiri. Tak sayang abang ya cik Aina sayang…? Aduh… sampai hati awak… sakit perut abang tahu tak?” Balas Ismail, dia masih terduduk, tangannya menggosok-gosok perutnya yang senak di tumbuk gadis itu.

“What? Abang? Awak tunang saya? Saya sayang awak? Huh, jangan nak perasanlah! Memang patut pun awak kena tumbuk dengan saya, padan muka!” Tingkah Iman.

 

Abang! Berbulu telinga Iman mendengar, meremang bulu romanya. Iman ketawa agak sinis, bibir dicebik-cebik tanda jengkel.

 

“Iman… percayalah. Saya ini tunangan awak…” Tekan Ismail.

 

‘Tunang konon! Kalaulah awak tunang saya, sudah lama saya peluk cium awak, tak adalah saya tumbuk awak sungguh-sungguh, awak tahu tak? Sakit perut awak, sakit lagi perut saya awak peluk tadi, senak! awak tahu tak? Sekarang awak tu cuma kenangan bagi saya, kenangan yang menyakitkan, awak tahu tak? Pelukan awak membuatkan hati saya bertambah berdarah, awak tahu tak? Renungan awak menghunus tangkai hati saya, sakit! awak tahu tak?’

 

“Apa awak tak sayangkan saya? Iman… memang saya ni tunang awak, Pak Samad tu pakcik saya, awak tahu tak?” Tekan Ismail lagi, bahu Iman diraih perlahan, wajah Iman dipandang geram.

“Aaaa… What? Tunang? Pak Samad, pakcik awak???” Mulut Iman terngaga luas.

“Ya Aina. Saya inilah ABANG awak tu.” Ismail mengangguk kecil, matanya merenung Iman menggoda. Sekali lagi mulut Iman ternganga luas.

 

‘Oh, patutlah selama ini tak pernah telepon saya, asyik-asyik SMS, asyik-asyik SMS! Bila saya telepon ‘ABANG???’ tak ada jawapan. Mentang-mentanglah Hotlink kat Giant RM6.99, sesuka hati awak saja nak kenakan saya ya. Patutlah muka seposen awak tu ada saja mana saya pergi. Rupa-rupanya…’

 

“Hei, tutuplah mulut awak tu, nanti masuk lalat, tahu?” Bisik Ismail.

 

Ismail merapatkan wajahnya mendekati wajah Iman, bibirnya mula mencari sasaran tapi Iman lebih pantas mengelak, wajahnya dipalingkan ke sisi. Ismail mengeluh hampa, ciumannya hanya terdampar di pipi mulus gadis itu. Namun, itu sudah memadai bagi dirinya yang sememangnya merindui gadis itu.

 

Iman melepaskan ketawa perlahan, wajahnya yang seketika tadi merah mula beransur tenang, menaikkan serinya. Entah mengapa dia terasa lega, kepalanya ringan tiba-tiba, hatinya melonjak gembira. Tanpa menunggu sesaat tubuh Ismail dirangkul erat bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi. Perut Ismail digosok perlahan, kesian… tak pasal-pasal kena debik dengannya tadi. Namun, kemudiannya dia menangis perlahan, teresak-esak, airmata tanpa diundang berjuraian jatuh.

 

“Iman, kenapa menangis ni, hmm?” Tanya Ismail pelik.

“Saya benci awak, saya benci awak, awak tahu tak?” Kata Iman, wajahnya di sembamkan ke dada bidang Ismail.

“Hei, kenapa benci pulak? Bukan ke awak sayangkan saya? Apa yang tak kena pulak ni?” Tanya Ismail gusar.

“Kenapa awak buat saya macam ni? Saya terseksa, awak tahu tak? Hati saya terluka, saya ingatkan saya akan kehilangan awak Ismail…” Luah Iman dalam sendu yang masih bersisa. Kegelisahan dan luka di hatinya sebelum ini ternyata tidak berasas!

“Iya? Kenapa awak tak melamar saya? Kenapa mesti buat keputusan menerima seseorang yang awak sendiri tak kenal?” Tanya Ismail.

“Saya malu! Masakan saya sendiri yang meminta awak mengahwini saya. Apa kata family awak nanti. Saya betul-betul tak sanggup, malu…” Jawab Iman jujur.

“Lah, apa salahnya. Tulah, dulu saya sendiri yang melamar banyak sangat alasannya. Padan muka!” Balas Ismail selamba, hidung Iman dipicit perlahan.

“Ismail!!!” Jerit Iman.

“Ya tunangku sayang…” Sahut Ismail, kembali merangkul tubuh Iman, mereka berdua ketawa riang.

 

Baru kini Iman tahu bahawa Pak Samad dan Makcik Zubaidah itu merupakan saudara Ismail. Pak Samad dan bapa Ismail merupakan sepupu dekat. Rupa-rupanya, ibu Iman juga berpakat dengan Ismail, patutlah wanita itu begitu memaksa dirinya untuk berkahwin. Wanita itu memberinya pilihan, tapi pilihan itulah yang menjerat dirinya. Ibu, ibu…

 

Lamunan tiba-tiba terhenti, Iman bingkas berdiri seraya mengibas-ngibas butiran-butiran pasir yang melekat di skirt yang dipakainya. Kemudian, tangan Ismail di tarik supaya turut bangun bersamanya. Ada sesuatu yang ingin dia perkatakan pada lelaki itu, tunangannya! Ismail hanya menuruti langkah Iman. Mereka beriringan menyusuri pantai Stulang yang kelihatan cantik tatkala senja berlabuh begini. Burung-burung berterbangan bebas, cengkerik dan unggas malam mula riuh berkicauan, deruman angin dan ombak bersatu memainkan irama indah.

 

“Ismail, betul awak terima diri saya seadanya? Bersedia menerima kekurangan dan kelebihan saya? Keluarga saya? Betul awak sayangkan saya? Menyintai saya sepenuh hati awak?” Tanya Iman. Ismail mengangguk yakin setiap pertanyaannya.

“Iman, saya berjanji akan jadi suami yang baik buat awak. Saya sudah bersedia ke arah itu, hanya awak yang akan menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak saya. Percayalah sayang…” Tutur Ismail, ada sinar yang terpancar di matanya. Jemari Iman di genggam erat.

“Ikhlas?” Tanya Iman meminta kepastian.

“Iya sayang… Lagipun saya sudah banyak kali melamar awak, cuma awak tu ajer yang jual mahal, tak bersedialah, takutlah, apalah. Kalau saya tak buat begini mesti sampai bila pun saya tak dapat mengikat awak, kan?” Jawab Ismail, sebelah tangannya mengusap perlahan pipi mulus Iman.

 

Iman tersengih manja seraya memeluk erat tubuh Ismail sekali lagi. Ya, dia menyayangi dan menyintai Ismail sepenuh hatinya. Nama  lelaki itu sudah terukir di hatinya, dia percaya Ismail mampu menjadi suami yang baik dan bertanggungjawab, lelaki yang di yakini dapat membimbing hidupnya dunia dan akhirat. Dia bersyukur kerana lelaki itu telah melamarnya, sudi memperisterikan dirinya yang serba kekurangan ini. Dan, dia berjanji akan menjadi isteri yang baik dan solehah kepada lelaki itu. Dia bersedia memikul tanggungjawab yang besar itu walau hakikatnya dia masih belum bersedia sepenuhnya.

 

“Ismail, bagaimana dengan keluarga awak? Mereka terima saya?” Iman meleraikan pelukan.

“Alah… mereka semua dah kenal awak. Kelmarin, awak dah jumpa dengan umi dan abah saya kan? Kakak-kakak saya yang bertiga tu pun awak dah kenal kan? Anak-anak buah saya pun awak dah tahu kan? So, what’s the problem?” Laju saja Ismail menjawab.

“Oh, jadi majlis tu memang sudah di rancang ya, hmm?” Iman menyoal geram.

“Yup, tapi insiden baby Auni jatuh memang tak ada dalam agenda rasmi, lari sikit dari plot yang di rancang. Tapi, hasilnya excellent! Extravaganza! Cuma…”

“Cuma apa?”

“Cuma hasilnya terlambat sikit, sepatutnya ending dia malam tu tapi… awak siang-siang sudah cabut lari!” Ismail menjawab dengan gelak ketawa. Iman tersenyum malu.

“Ismail… tapikan, saya macam pernah nampak muka umi awak, kakak-kakak awak yang bertiga tu pun sama.” Ujar Iman.

“Really?” Tanya Ismail, Iman mengangguk tanda pasti.

 

Sewaktu diperkenalkan oleh Amira hatinya tertanya-tanya. Dia bagaikan pernah melihat Oma juga makcik-makcik Amira yang bertiga itu. Di mana, dia terlupa tapi, wajah mereka memang cukup dikenali. Adakah mereka sememangnya pernah bertemu? Atau, barangkali hanya perasaan dia saja. Entahlah…

 

“Kampung’s Spagetti, Puding Kastad…” Bisik Ismail dekat ditelinga Iman. Iman ternganga.

“Apa yang awak merepek ni, kat sini mana ada benda tu semua. Jangan nak mengada-ngada eh.” Tegur Iman.

“Eh mengada-nda apa pulak. Kampung’s Spagetti, Puding Kastad… makcik nak awak yang buat tau.” Sekali lagi Ismail mengulangi ayatnya.

“Oh my God! I got it, I got it… alamak Ismail, malunya saya… Ya Allah apa saya nak buat ni?” Iman kalut. Ismail di sebelahnya ketawa kuat, kelakar melihat telatah Iman saat itu.

“Jangan takut, awak lulus ujian, tu pasal saya hantar rombongan meminang.” Ismail mengenyit mata nakal, Iman tersenyum malu.

 

“Papa Is…” Panggil Iman nakal.

“Ya, Mama Iman, ada apa sayang?”

“Jom, kita balik dah nak masuk waktu maghrib ni nanti ibu saya bimbang pulak.” Iman menarik tangan Ismail.

“Eh, sekejap.” Tahan Ismail. Iman menegrutkan dahinya, kenapa?

“Iman sayang… nanti dah jadi isteri saya, jangan tumbuk saya lagi ya, sakit… abang tak tahan.” Bisik Ismail perlahan.

“Ok. Tapi, tak boleh janji sangatlah eh. Kalau ‘abang’ saya tu buat hal, lebih daripada tu dia dapat. Ingat, saya ada black belt tau.” Balas Iman selamba.

“Black belt ya sayang… ok, tapi ingat… ‘abang’ awak ni ada lebih daripada itu tau.” Ujar Ismail dengan maksudnya yang tersendiri. Iman mencebik bibir.

 

Malamnya, sekian kalinya, Ismail memperkenalkan Iman kepada ahli keluarganya. Sesekali mereka berdua menjadi bahan usikan ahli keluarga yang sememangnya mesra itu. Wajah Iman yang putih bersih itu beberapakali berubah warna, Ismail yang sentiasa di sisinya langsung tidak mahu membantu meredakan usikan malah dia sendiri lebih galak mengusik Iman dari mereka semua.

 

Gelaran ‘Mama Iman’ bagaikan sudah tidak janggal di pendengaran Iman, nama itu di panggil manja, disapa mesra, di jerit kuat oleh beberapa anak kecil termasuk Amira sendiri di rumah itu. Sungguh! Iman merasakan itu adalah saat yang paling membahagiakan di dalam hidupnya, dikelilingi keluarga yang mesra dan bahagia, anak-anak kecil yang comel dan ceria juga di samping lelaki yang bakal melayari hidup bersamanya.


Posted at 11:17 am by ElleaNur
Comments (5)  




Mar 29, 2006
BPB_48 :: GURISAN DUKA LARA ::

Iman duduk bungkam di atas kerusinya. Bilik pejabat yang kecil ini terasa begitu sempit dengan kehadiran sebatang tubuh sasa milik lelaki itu. Jam di tangan hampir ke pukul 4.30pm! Lain orang yang ingin dijumpa lain pulak yang menjengukkan muka, betul-betul memberantakkan rancangannya. Entah mengapa Iman terasa bahang di mana-mana. Penghawa dingin yang terpasang tidak langsung menyejukkan suhu badannya. Sesekali Iman menjeling pintu bilik pejabatnya yang terkunci rapat. Ingin saja Iman segera meloloskan dirinya keluar dari keadaan yang ternyata sesak ini.

 

Ismail memerhatikan wajah cemberut gadis yang bungkam di hadapannya. Dia tahu apa yang membuatkan gadis itu keresahan, gelisah bagaikan ayam berak kapur! Pasti pertemuan sebentar nanti yang membelenggu fikiran itu, pasti temujanji yang pertama itu mengundang debar di hati gadis itu. Pasti kemunculan seseorang yang diundang yang ditunggu-tunggu. Dan, pasti kemunculannya dianggap sebagai pengganggu! Sengaja Ismail datang awal, sengaja untuk melihat riaksi Iman, sengaja menduga dan terus menduga. Ya, dia sememangnya sengaja, Bukan apa-apa!

 

"Iman, saya serius dengan apa yang saya katakan kelmarin." Ulang Ismail.

"Hei… jangan nak mengarutlah! Saya ni tunangan orang Ismail! Jangan sesekali awak perlekehkan hak orang lain. Sekali saya mengikat janji takkan saya mungkiri. Awak faham itu?" Tegur Iman geram.

"Oh, begitu? Baguslah, senang hati saya mendengarnya." Balas Ismail.

"Ha'ah. So, boleh awak pergi sekarang?" Pinta Iman.

 

Ismail mengukir senyuman senang. Alangkah bahagia hatinya saat itu. Dialah lelaki yang paling bahagia di dunia sebaik mendengar sebaris ayat itu. Pengakuan yang dia yakin jujur lahir dari hati murni gadis itu.

 

"Awal lagi, sekejap lagi saya baliklah. Awak ada temujanji dengan seseorang ya? Ni mesti kes nak jumpa tunang kesayangan ek." Serkap Ismail.

"Kalau ya pun ada kena mengena dengan awak ke? Hak saya Ismail… so, suka hati sayalah nak jumpa dia ke, nak apa ke..."

"Dia hak awak Iman?" Ulang Ismail.

"Erm…"

"Belum lagi Iman… baru bertunang." Perli Ismail. Iman tertunduk malu, dia diam tidak menjawab.

 

Lima minit berlalu namun, lelaki itu sedikit pun tidak mahu beransur pergi. Iman mendengus nafas kuat sekali, sengaja menunjukkan ketidaksenangan hatinya saat itu. Wajahnya merona pekat, dahinya berkerut hebat. Dia benar-benar bengang dengan kedegilan Ismail itu. Kalau ikutkan hati panasnya, mahu saja di halau lelaki tidak malu itu. Jiwanya resah, dadanya berdebar, jam di pergelangan tangan di belek cemas, bimbang jika dua lelaki dalam sejarah hidupnya bertembung muka. Apakah yang akan terjadi nanti? Saling bertelingkahkah mereka? Ah, Iman benar-benar tidak dapat membayangkan.

 

"Ismail, tolonglah pergi sekarang." Pinta Iman masih cuba berlembut.

"Kenapa? Tak suka saya di sini? Saya mengganggu awak ya?" Tanya Ismail. Jam di jeling sekilas, 4.45pm! Masih banyak masa lagi, temujanji dengan tunangnya pukul 5pm.

 

Akhirnya, Iman terpaksa beralah. Dengan perlahan dia bingkas bangun. Iman ingin pergi dari situ. Biarlah, kalau pun Ismail ingin duduk bertapa di dalam bilik pejabatnya itu sampai malam, dia tidak kisah. Mahu tidur sampai pagi, lagi dia tidak peduli. Iman tidak perlu melayan kerenah lelaki itu, mengada-ngada, suka sangat meraih perhatian. Lagipun, bukan dia dapat apa-apa pun, dirinya tetap juga milik lelaki yang lagi satu itu. Kalau sudah bosan tahulah Ismail balik sendiri.

 

"Eh, eh sekejap. Boleh saya tahu siapa nama tunang awak tu? Mana lebih handsome, saya ataupun tunang awak tu?" Tanya Ismail serius, dia belum puas menduga dan mempermainkan Iman.

"Awak nak buat apa?" Pantas Iman bertanya, pelik.

"Saja nak berkenal-kenalan, tak boleh ke? Lagipun, kitakan kawan. So, siapa nama dia?" Balas Ismail, bibirnya tersumbing-sumbing menahan senyum.

"Saya tak tahu! Handsome ke tidak, awak peduli apa! Dia tunang saya, saya yang akan kahwin dengan dia, jadi isterinya, bukannya ada kena-mengena dengan awak pun! Lagi satu tolong ingat, handsome saja tidak menjamin kebahagian En. Ismail…" Jawab Iman selamba, biar Ismail terasa.

"Apalah nama tunang sendiri pun tak tahu, tunang jenis apalah awak ni, Iman… Iman…" Perli Ismail selamba.

 

Ha..ha..ha.. Ismail menghamburkan gelakkan yang besar, kuat, nyaring, benar-benar membuatkan Iman tersinggung. Tanpa berlengah, Iman pantas mengatur langkah, dia ingin segera menyembunyikan wajahnya yang sekali lagi merona merah! Dia malu dipersendakan sebegitu rupa oleh Ismail. Iman rela di kutuk oleh lelaki lain, dia rela dicerca jiran tetangga. Iman tidak kisah orang keliling mengata akan kedunguannya atas pertunangan tanpa cinta ini. Sungguh, Iman rela tapi, bukan sesekali datangnya dari bibir Ismail, setiap patah membuatkan hatinya lara, terguris sakit, luka lamanya pasti kembali berdarah. Namun, belum sesaat tubuhnya di sambar oleh Ismail. Lelaki itu merangkul tubuhnya erat.

 

"Lepaskan saya, lepaskan saya, Ismail. Saya benci awak!" Iman menjerit, badannya meronta kuat. Iman bagaikan diserang histeria.

"Iman… janganlah meronta, dengar apa yang saya nak cakapkan ni. Iman…" Ujar Ismail. Tubuh Iman di pusing menghadap dirinya namun pelukan masih tidak dirungkaikan, bimbang gadis itu akan melarikan diri.

"Tak mahu! Awak nak mempersendakan saya lagi, kan? Awak nak ketawakan saya? Hah, ketawalah sepuas-puas hati awak. Kenapa diam? Ketawalah cepat!" Jerit Iman lagi tatkala dilihat Ismail hanya membisu, mata lelaki itu merenung wajahnya lembut.

 

Iman kalut namun, dia tidak perlu hanyut dengan godaan Ismail itu. Lelaki itu telah mempersendakan dirinya. Mata Iman mencerlung merah menentang wajah Ismail. Airmatanya yang berjuraian tidak dihiraukan, dia lebih rela menggunakan tangannya untuk menumbuk dada bidang Ismail, bukan sekali malah berkali-kali. Dia benar-benar hilang pertimbangan. Hatinya benar-benar sakit mendengar kutukan Ismail. Bukan salah dirinya juga bukan pintanya, takdir yang  menentukan hidupnya ditunangkan dengan jejaka yang dia sendiri tidak kenali.

 

"Auch! Iman, sakit dada saya sayang… auch… Iman…" Ismail mengaduh.

"Saya peduli apa! Sakit lagi hati saya, awak tahu tak!!!" Balas Iman geram.

"Iman… please… sudah-sudahlah tu. Iman…" Pujuk Ismail perlahan, Iman masih berterusan menumbuk dada lelaki itu, lebih kuat dari tadi.

"So, lepaskanlah saya cepat!" Bentak Iman.

"Tak nak!" Jawab Ismail selamba, rangkulan dieratkan. Haruman segar rambut Iman menusuk hidung Ismail, nyaman sekali.

"Hish… lepaslah!" Iman menepis tangan Ismail. Setan! Hatinya mula menyumpah.

"Tak nak!" Jawab Ismail selamba.

 

Ismail masih ingin mempermainkan gadis itu. Dia mengenyit mata nakal tatkala Iman merenung tajam ke arah wajahnya. Wajah Iman yang merona pekat menahan kemarahan diteliti semahunya, memang itu hobinya. Gadis itu kelihatan lebih menggoda dan cantik ketika sedang menahan suhu kemarahan. Pipi merah, hidung merah, mata merah, bibir lagilah merah!

 

"Apsal tak nak pulak? Apa awak tak puas-puas lagi nak seksa saya, tak puas lagi menyakiti hati saya, hmm?" Tanya Iman. Bibirnya diketap geram.

"Tak naklah. Lagipun, bukan saya nak seksa awak, awak sendiri yang meronta-ronta, siapa suruh? So, kalau tak mahu sakit jangan meronta lagi, faham?" Ujar Ismail selamba, wajahnya beriak nakal, benar-benar menaikkan darah Iman.

"Oh, siapa suruh ya? Erm, saya faham, ok, ok…" Iman menguatkan rontaannya, tangannya menumbuk perut Ismail kuat.

 

Gedebuk!!! Dengan sekali hayunan penumbuk sulung Iman, Ismail jatuh terduduk di atas lantai, sebiji macam nangka busuk. Lelaki itu mengerang kesakitan. Siapa suruh? kan... siapa suruh menyakitkan hatinya? Rasakan tumbukkan padu darinya. Padan muka! Genggaman penumbuk dibelek megah, tidak sangka hebat sekali kekuatannya. Iman tersenyum puas.


Posted at 04:40 pm by ElleaNur
Comment (1)  




Mar 16, 2006
BPB_47 :: DEKAT PADAMU ::

Sementara menantikan masuknya waktu solat isya' Iman mengambil kesempatan untuk menghantar SMS kepada Amira. Untuk menelepon dia berasa sedikit janggal, rongganya tersekat, pasti suaranya kaku. Iman ingin memohon maaf kerana pamit tanpa memberitahu gadis itu semalam. Pasti Amira terasa hati, Sufi dan Fahmi juga mesti tertanya-tanya akan ketiadaan dirinya namun, bukan kehendaknya bertindak melulu begitu. Entah mengapa, dia tidak dikurniakan kekuatan untuk berada lebih lama di majlis itu.

 

Lima minit berlalu namun masih belum ada balasan dari Amira. Iman sedikit cuak, mungkinkah gadis itu marahkan dirinya? Sedang Iman berkira-kira untuk menelepon, keluar bunyian menandakan ada mesej masuk. Pantas Iman membaca namun, kemudiannya dia mengeluh hampa. Lain yang ditunggu lain pulak yang diterimanya.

 

Abang??? Wujudkah lelaki itu di dalam hidupnya? Tunangan tanpa nama mahupun wajah, tunangan tanpa rela, tunangan tanpa cinta! Mengapakah sehingga ke hari ini Iman masih tidak punya hati untuk mendapatkan apa jua maklumat mengenai lelaki itu, tunangannya sendiri.

 

'Aina, Sihat? Sudah makan sayang?'

 

Tapi, semakin hari juga Iman merasakan yang lelaki itu semakin dekat di hatinya, dia bagai dapat merasakan kehadiran lelaki itu di mana-mana. Kini, di antara mereka sepertinya ada satu ikatan yang erat, tersimpul kemas! Sungguh, Iman dapat merasakannya, hati kecilnya tidak menolak untuk hal yang satu itu. Hangatnya perasaan, kembang teruja, jatuh cinta lagikah dia? Jodoh aturan keluarga, cinta yang diberkati? Atau, mungkinkah perhatian lewat kiriman SMS dari lelaki itu mendekatkan mereka? Romantis kata-kata tunangannya itu memputikkan benih-benih cinta di hatinya? Cinta SMS?

 

'Sihat. Sudah. Awak sihat? Dah makan?'

 

Iman membalas pendek, soalan formal. Dia senang sekali membalas setiap mesej yang dihantar oleh lelaki itu semenjak bertunangan jika tiada sesuatu menghalang. Cuma, satu yang belum berjaya dilakukan hingga ke saat ini, berbual mesra menerusi telepon! Bukan tidak pernah mencuba, setiap kali talian bersambung ada saja masalah teknikalnya. Kadang-kadang dia sendiri hairan, tidak pasti samada telepon miliknya rosak ataupun si pihak penerima panggilan yang sebenarnya bermasalah. Mungkin, dia perlu menghubungi Maxis untuk mendapatkan kepastian.

 

'Sihat juga. Belum lagi. Nak temankan abang makan?'

 

'Mungkin, next time...'

 

'Bila tu?'

 

'Tak tahu.'

 

'Tak tahu? Bukan selepas kita kahwin? ;)… Aina, kita jumpa mahu?'

 

Iman terkedu. Jumpa? Sudah bersediakah dia untuk bertentang empat mata dengan lelaki itu? Tapi, bukankah itu yang dihajati cuma belum mendapat undangan saja lalu, perlukah dia menolak seandainya orang sudah membukakan jalan? Iman membiarkan mesej tidak berbalas. Seusai solat isya' dia kembali mendapatkan telepon yang dibiarkan di atas katil

 

5 messages received. 1 Dari Amira, 4 lagi dari ABANG???

 

 

'Maaf kak Aina, lambat reply. Tak perlu minta maaf, Mira yang byk buat salah dgn kat Aina ;( Maafkan Mira ya?'

 

Iman mengukir senyuman lega. Dia membalas dan kemudian segera membaca mesej-mesej yang seterusnya.

 

'Aina, boleh?'

'Aina, tak sudi nak jumpa abang ya?'

'Aina… kenapa senyap ni?'

'Aina…'

 

'Aina solat tadi. Abang dah solat?'

 

'Aina? Abang? Ni yang buat abang tak sabar nak jumpa Aina. ;)…'

 

Hah, pantas Iman menyemak semula ayat mesej yang dihantar kepada lelaki itu tadi. Alamak, macam mana dia boleh membahasakan diri dengan namanya sendiri dan memanggil lelaki itu ABANG!!! Sungguh! dia sedikit pun tidak perasan apa yang di taipnya itu, betul-betul tidak disengajakan. Ya Allah… malunya! Wajahnya merona merah, malu kepada lelaki itu juga dirinya sendiri.

 

Mungkinkah? Adakah itu petunjuk yang menandakan dia sudah mula menerima kehadiran lelaki itu di dalam hatinya, ikhlas dengan suratan takdir ilahi ke atas hidupnya. Sekali lagi Iman membiarkan mesej dari lelaki itu tidak berjawab, dia mengorak langkah ke dapur untuk mendapatkan segelas air suam. Wajahnya kebas, hatinya berdebar pantas. Iman perlu menenangkan diri buat seketika. Sempat juga Iman duduk menemani ibunya menonton televisyen. Drama yang ditayangkan sedikit pun tidak menarik minatnya lalu dia kembali ke dalam bilik.

 

2 messages received.

 

'Aina… are u there?'

'Kak Aina masih marahkan Papa Is? Pls maafkan Papa Is, terima semula Papa Is, plsssss...Mira syg Kak Aina, Mira syg Papa Is.'

 

Iman membiarkan mesej Amira tidak berjawab. Dia tidak punya jawapan untuk soalan itu buat masa ini. Kini, tumpuannya beralih pula kepada mesej kiriman ABANG???

 

'Ya ada. saya ke dapur tadi.'

 

'Oh lamanya! ;)… So boleh tak kita jumpa? Abang rindu.'

 

Iman tersenyum kecil, pasti lelaki itu dapat membaca perasaannya sebentar tadi. Nampaknya, dia perlu lebih berhati-hati di masa depan, ejaan dan susunan ayat perlu menjadi keutamaan sebelum menghantar sebarang mesej kepada lelaki itu.

 

'Ok, bila n di mana?'

 

'Esok, abang datang jemput ya? Di rumah atau tempat kerja?'

 

'Erm, kat cafe ajelah around 5pm, boleh?'

 

'Ok sayang, kita sambung nanti, abang nak solat dulu. Nak makan tak ada orang sudi temankan… ;)'

 

'Ok.'

 

'Tunggu abang tau. Jgn tidur dulu.'

 

'Ok, tp saya tak janji, ;)…'

 

'Aina… please… tunggu abang?'

 

'Oklah.'

 

Sudahnya, hampir tengah malam mereka masih lagi rancak berbalas mesej. Hanya berbual kosong, sekali pun tidak menyentuh perihal peribadi. Soal hati dan perasaan lagilah terabai jauh. Satu yang Iman pelik, mengapa lelaki itu tidak mahu menghubunginya? Takut bil melambung tinggi ke? Jimat kredit ke? Atau, tunangannya itu seorang yang kedekut barangkali! Oh tidak, Iman tidak boleh hidup dengan orang yang sebegitu. Atau, mungkin lelaki itu punya alasannya yang tersendiri, siapa tahu? Ikutkan hati, mahu saja Iman bertindak mendail nombor talian lelaki itu, lebih senang untuk bercakap dari menaip bait-bait ayat tapi...

 

'Aina, sudah mengantuk ya?'

 

'Erm, so kita continue esok boleh?'

 

'Ok. Eager to see u ;)'

 

':P'

 

'Once the moon winks at u tonite, I wish sweet dreams embrace u tight. Hope your day was quite alright & now I bid u a lovely gudnite. A'kum, abang sayang Aina!'

 

Iman langsung lena tanpa membalas mesej terakhir itu. Sungguh, dia benar-benar keletihan yang amat. Segalanya tentang hari esok tidak mahu difikirkan. Terserah. Tapi, hanya satu yang akan dilakukan sebaik matahari memercikkan sinarnya. Hanya satu tekad baru yang akan memandu hari-hari mendatang seorang Iman. Hanya jasad baru yang akan menempuhi dugaan-dugaan yang menghalang. Hanya bahagia ibu yang menjadi keutamaan. Dan, hanya lelaki itu yang akan mengisi ruang hatinya yang kesepian.                          


Posted at 01:46 pm by ElleaNur
Make a comment  




Mar 9, 2006
BPB_46 :: KIRANYA KU TAHU ::

"Aina, Aina tak apa-apa, kan? Kalau Aina lapar, Aina keluar ya sayang. Ibu ada masak gulai sembilang ni, Aina pasti suka, kan?"

 

Panggilan dan pujukkan ibunya sedari tadi langsung tidak diendahkan. Iman lebih senang menguncikan dirinya di dalam bilik. Semenjak semalam dia lebih senang membisu, tubuhnya lesu, otaknya buntu, hatinya pilu. Dan, dari semalam juga perutnya sebu, sebutir nasi pun tidak lalu, seteguk air juga tidak diperlu. Pasti ibunya bimbang tapi…

 

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

 

Hanya sebaris ayat itu yang kini rancak bermain di benaknya, berulang-ulang, betul-betul menghantui, menghambat diri, merantai kaki, langsung tidak memberi peluang untuk dirinya bebas berlari mahu pun mewarnai hari. Sudahnya, Iman bagaikan orang yang kebingungan, hanya baring terlentang, terkebil-kebil memikirkan keadaan dirinya.

 

"Ya Allah, kalaulah waktu boleh diundur kembali…"

 

Ya, kalau waktu boleh diundur sudah pasti dia menjadi manusia paling gembira. Akan disambut lamaran Ismail di awal waktu perkenalan mereka atau paling tidak pun di antara beberapa lamaran yang datang selepas itu. Tapi, dia pantas dan dengan senang hati saja menolak. Mengapa? Ah, betapa ceteknya fikirannya saat itu. Iman menelan liur. Pahit sekali.

 

"Aina, keluar makan sayang… dari semalam lagi Aina tak makan. Ibu bimbang sayang. Aina…" Terdengar suara Pn. Hasnah dari luar bersama ketukan kecil di pintu.

 

Orang tua-tua kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata inilah padahnya. Menolak lamaran orang tersayang lagilah haru jadinya, merana macam dirinya! Dan, orang muda-muda pula kata, kalau nasi sudah pun menjadi bubur, walau ditambah secupak beras tidak akan sempurna menjadi butiran nasi. Mahu tidak mahu ditelan saja walau pekat dan likatnya tidak menepati citarasa. Tapi, dia memang sukakan bubur nasi, hari-hari kalau boleh hendak menikmati hidangan itu. Ah, yang pentingnya, kalau benarlah masa itu boleh diundur… Sekali lagi Iman terpaksa menelan liur, sedar yang hal yang satu itu tidak mungkin terjadi!

 

"Aina, Ismail pun ada kat luar ni. Dia datang nak jumpa Aina, keluar ya sayang." Sambung Pn. Hasnah lagi.

 

"Hah Ismail??? Apa dia buat dekat sini bu?"

 

Tiba-tiba Iman berasa pelik. Mengapa pula ibunya membenarkan lelaki itu datang berkunjung ke rumah mereka. Bukankah dia bertunangan dengan anak sedara Pak Samad bukannya bertunangan dengan anak Pak Ibrahim itu! Sepatutnya ibu mengundang tunangannya, bukan lelaki itu, bukan!!!

 

"Ismail datang nak jumpa Aina. Aina keluar ya, ada sesuatu yang ibu dan Ismail nak bincangkan dengan Aina, penting sangat. Keluar ya sayang." Pujuk Pn. Hasnah lagi.

 

"Aina tak perlukan dia bu, kalau penting pun untuk apa berbincang dengan dia, dia bukannya tunang Aina, dia bukannya sesiapa pada Aina. Aina tak mahu jumpa dia bu, Aina tak mahu." Balas Iman pantas.

 

Pn. Hasnah hanya mampu menjungkit bahunya tatkala Ismail merapati dirinya di muka pintu bilik Aina yang terkunci rapat. Sungguh, Pn. Hasnah sudah kehabisan idea untuk memujuk anak gadisnya itu. Selalunya Aina tidak akan berdegil begini, hati itu mudah saja dipujuk, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Dan, Pn. Hasnah amat mengerti apa yang membuatkan anak gadisnya mengunci diri semenjak malam semalam lagi. Segalanya sudah dijelaskan oleh Ismail. Sebagai ibu dia dihujani rasa bersalah yang amat namun, apa yang dia lakukan semuanya adalah untuk kebaikkan Aina juga.

 

"Cuba Ismail pula yang pujuk Aina, ibu ke dapur sekejap. Kalau Aina tidak mahu makan, kita berdua saja yang makan. Angin dia belum ok lagi tu. Kalau kena caranya sekejap saja dia mengikut kata kita. Ismail kena banyak bersabar ya." Ujar Pn. Hasnah seraya berlalu ke ruang dapur.

"Baiklah bu."

 

Ismail merenung lama pintu bilik yang terkunci rapat itu. Entah apa yang sedang dibuat oleh Iman di dalam agaknya. Menangiskah gadis itu? Menurut Pn. Hasnah, Iman mengunci diri sekembalinya dari majis hari lahir Amira lalu, tanpa berlengah dia datang berkunjung dan kini sudah pun terpacak di rumah ini. Ismail sedar semuanya adalah kerana dirinya, dia dihambat resah namun dia punya alasan untuk semua itu.

 

"Iman, keluar sayang… ada sesuatu yang saya nak cakap dengan awak ni. Kita perlu duduk berbincang, banyak perkara yang saya hendak terangkan dengan awak. Lagipun, awak belum makan dari semalam lagi, jangan begini, nanti kalau awak jatuh sakit macam mana? Iman…" Pujuk Ismail panjang lebar.

 

Senyap langsung tiada balasan. Iman diam tidak menjawab.

 

"Iman, kesian dekat ibu, ibu bimbang sangat. Ibu masakkan awak gulai sembilang tau, saya ada petik ulam raja tadi, mesti sedapkan. Kita makan sama-sama, ya? Ibu kata, awak yang tanam…"

"Hei, dia ibu saya, bukan ibu awak, tahu?" Terdengar bantahan Iman dari dalam. Ismail tergelak kecil.

"Yalah, yalah, ibu awak, saya tahu itu. Tapi… ibu awak akan jadi ibu saya jugak, tahu?" Balas Ismail pula.

"Huh, jangan nak perasan! Sekarang awak pergi balik. Saya tak perlukan awak di sini. Segalanya sudah saya jelaskan semalam. So, apa lagi yang awak nak?" Tingkah Iman, dia mula bersandar di sebalik pintu.

"Saya nak awak dan saya nak awak keluar makan. Saya akan balik tapi, awak kena janji dengan saya dulu. Janji ya?" Kata Ismail.

"Saya tak nak awak! Saya tak mahu makan! Awak peduli apa!" Jawab Iman pantas.

"Iman, please… jangan degil sayang… kalau bukan kerana saya pun makanlah kerana ibu awak, atau… kerana tunang awak. Janji?" Pinta Ismail.

 

Senyap. Ismail mengetuk-ngetuk perlahan pintu bilik Iman. Bermacam irama terhasil dipendengaran Iman hasil dari ketukan bertalu-talu dan berlagu-lagu itu. Sesekali irama tabla juga berkumandang. Begitu membingitkan telinga!

 

"Iman… janji?" Tuntut Ismail lagi, ketukan di pintu tidak dihentikan malah semakin rancak dan kuat.

"Iman… selagi awak tak jawab, saya akan tetap berdiri dekat pintu ni dan selagi itu saya akan ketuk pintu bilik awak ni. Biar pintu ni pecah, biar tangan saya berdarah pun saya sanggup, tahu?" Ugut Ismail. Irama tabla semakin dirancakkan.

"Nak pecah ke nak berdarah ke, saya peduli apa!" Balas Iman setelah agak lama mendiamkan diri.

"Ok, saya pun tak peduli! Iman… awak ada apa-apa permintaan lagu tak? Lagu Tamil ke? Lagu hindustan ke? Lagu Spanish ke? Lagu…"

"Ada!" Pintas Iman.

"Apa dia?"

"Pulanglah!!! Atau dalam erti kata lain, pergilah balik, B.A.L.I.K, balik! Faham?" Kasar sekali intonasi suara Iman di sebalik pintu itu. Ismail terkedu.

"Oh, ok. Tapi… awak kena janji dulu. Iman, janji ya?" Pinta Ismail pula.

"Erm…"

"Janji?" Ulang Ismail.

"Ok."

"Janji?" Ulang Ismail sekali lagi, dia tidak puas hati selagi Iman tidak mengeluarkan kata janji.

"Iyalah-iyalah, saya janji! Tapi, bukan kerana awak, saya makan kerana ibu saya. Dan, saya juga makan kerana tunang kesayangan saya, tahu?" Ujar Iman sengaja cuba menyakiti hati Ismail.

"Ok." Sambut Ismail senang hati.

 

Ismail mula mengorak langkah namun, tiba-tiba dia berpatah kembali. Sekali lagi pintu bilik Iman di ketuk perlahan berselang-seli dengan panggilan nama gadis itu. Sampai ketukan yang ke sepuluh barulah ada balasan dari Iman.

 

"Ya Allah Ismail… apa lagi ni, nak apa ni?"

"Iman, betul ke awak sayangkan tunang awak tu, hmm?" Tanya Ismail.

"Yang awak sibuk sangat ni kenapa, hah?" Iman berang.

"Betul?"

 

Diam, senyap, sunyi, sepi di pihak Iman. Tapi, Ismail masih sabar menanti, pintu sekali lagi diketuk-ketuk perlahan kerana dia tahu Iman masih bersandar di muka pintu itu.

 

"Iman, betul?"

"Erm."

"Betul?"

"Eh, betullah! Saya sayang dia, saya cintakan dia, puas hati?" Jerit Iman kuat.

"Erm, baguslah. Saya pun sayangkan awak. I love you too." Bisik Ismail perlahan, rapat sekali di permukaan pintu bilik Iman dan dia pasti gadis itu dapat mendengarnya.

"Hei jangan mimpilah! Perasan!" Jerit Iman lagi kuat dari tadi.

 

Ismail sedikit pun tidak terasa hati dengan kata-kata Iman itu malah, dia cepat-cepat berlari ke dapur untuk segera menghamburkan ketawa yang disimpan sedari tadi. Pn. Hasnah yang masih sibuk menyiapkan hidangan memandang pelik. Namun, lambat-lambat dia pun turut ketawa sama, mengekek-ngekek, berdekah-dekah mengalahkan Ismail sendiri.

 

"Ibu, Ismail kena balik dululah. Nanti bertambah marah pulak anak dara ibu kat dalam bilik tu. Sekejap lagi mesti dia keluar makan, Ismail pasti!" Ujar Ismail setelah keadaan kembali reda.

"Lah, kenapa pulak. Oh, ibu faham, ibu faham. Tak mengapa, ibu tapaukan lauk untuk Ismail ya. Umi Ismail ada kat sini lagi kan? Nanti ibu tapaukan banyak sikit. Tinggal berdua saja takut tak habis, membazir pulak nanti. Si Aina tu bukannya banyak sangat makannya, kalau ibu tak paksa tambah, sejemput tu ajerlah yang dimakannya." Balas Pn. Hasnah.

 

Sudahnya, Ismail berlalu pulang dengan hati yang sedikit walang. Namun, dia tidak perlu bimbang, esok dan lusa akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biar keadaan sedikit reda barulah Ismail akan kembali memujuk Iman. Gulai sembilang di tempat duduk sebelah dijeling geram, aroma itu begitu menusuk hidungnya, betul-betul buat Ismail jadi tidak sabar untuk sampai ke rumah Kak Longnya. Pasti uminya suka, gulai sembilang orang Johor ni memang kesukaan wanita itu dan dirinya sendiri.


Posted at 12:54 pm by ElleaNur
Comment (1)  




Mar 6, 2006
BPB_45 :: SUDAH GAHARU CENDANA PULA ::

Iman membuang pandang ke sisi, tubuh Ismail ditolak menjauh, hatinya tidak keruan tatkala wajahnya masih menjadi ratapan sepasang mata hitam milik lelaki itu.  Sudahlah seketika tadi nafasnya sesak akibat dipeluk kejap oleh lelaki itu. Dan kini, tangan Ismail pula kembali mencengkam kuat pergelangan tangannya, sedikit pun tidak mahu dirungkaikan. Iman sudah berusaha, merentap dan meronta, cuma belum menggigit saja! Tangannya sudah pun merasakan kesakitannya namun, sedikit pun tidak diendahkan oleh Ismail. Lelaki itu lebih rela membekukan diri, membisukan mulutnya. Hanya matanya yang memainkan peranan, memandang redup, merenung dalam. Iman benar-benar penasaran!

 

Beberapa minit kemudian, Iman bagaikan baru tersedar. Dia tidak boleh tenggelam, dia tidak tahu berenang walau dia sendiri tahu betapa indahnya dunia ciptaan Ismail itu. Nafasnya sesak untuk mengapungkan diri, hatinya merintih pedih untuk sama-sama menikmati keindahan itu. Iman tiba-tiba dikurniakan kekuatan, wajahnya segera didongak, renungan mata hitam Ismail ditentang tajam. Iman sudah lama lemas dengan keadaan ini, kebenaran akan segera disingkap. Ya, dia benar-benar sudah bersedia untuk memberitahu Ismail akan perkara yang sebenar.

 

“Ismail… sebenarnya memang saya sudah...” Nafas dihela panjang.

“Oh, jadi inilah hal yang awak nak cakap dengan saya hari tu ya? Siap minta saya lupakan awak lagi. Sampainya hati awak. Apa istimewanya dia? Apa kurangnya saya?” Pintas Ismail bagaikan orang yang rajuk hati.

 

Iman menggeleng. Tiada istimewanya ‘dia’ dan tiada kurangnya lelaki itu. Malah, hanya nama lelaki itu yang terukir kukuh di hatinya.  Hanya lelaki itu yang bisa menggetarkan naluri cintanya, hanya cinta lelaki itu yang menjalari urat sarafnya. Hanya kasih lelaki itu yang menjadi dambaan pilu bagi dirinya. Tapi…

 

“Cakap Iman! Kenapa?” Tingkah Ismail kuat. Bahu Iman di goncang-goncang.

“Errr… saya…”

“Saya yang banyak kali melamar, awak tolak mentah-mentah, Tak bersedialah, takutlah, itulah, inilah, banyak sangat alasan! Tapi, orang tu melamar sekali ajer awak terus terima ya, Iman? Puaslah hati awak sekarang, kan?” Tanya Ismail geram. Wajahnya tegang sekali.

“Ismail, saya…”

“Saya yang separuh mati cintakan awak, sayangkan awak, pagi petang siang malam rindukan awak, awak pulak senang-senang terima cinta orang lain. Saya yang makan tak lalu, mandi tak basah, tidur tak lena teringatkan awak, lelaki tu yang awak akan jadikan suami. Apa awak ingat cinta saya ni cinta monyet! Hei, monyet pun kalau bercinta, dia setia sampai mati, awak tahu tak?” Bebel Ismail sesedap rasa.

“Ismail, saya…”

“Saya kecewa awak tahu tak? Agaknya memang awak tak cintakan saya, cinta awak tu cinta palsu! Awak tak ikhlas mencintai saya! Awak memang sengaja hendak memperma …”

“Ismail! Dengarlah dulu apa yang saya nak cakapkan ni! Jangan nak tuduh sembarangan saja!” Bentak Iman kasar.

 

Iman geram sedari tadi lelaki itu asyik memotong percakapannya. Siap kait-kaitkan dengan monyet! Monyet bercinta dia orang punya pasallah! Apa kena mengena dirinya dengan binatang tu pulak! Dan, dia lebih geram lagi tatkala Ismail mempersoalkan cinta sucinya untuk lelaki itu. Pasti lelaki itu menganggap dirinya perempuan yang mudah menggadai cinta! Sungguh! Dia aib memberitahu perkara tu kepada Ismail. Dia cintakan lelaki itu tetapi dia menerima orang lain. Dia sedih kerana tidak kuat untuk mempertahankan cintanya terhadap Ismail. Iman mengambil tempat duduk kembali, badannya tiba-tiba terasa lemah, semangatnya hilang sebaik mendengar tuduhan Ismail itu.

 

Ismail terdiam. Wajah Iman yang sekali lagi berubah warna di pandang tajam. Riak tegang itu langsung tidak menggentarkan malah, dia lebih sukakan mimik yang terukir itu!

 

‘Huh, tahu pun awak marah ya Cik Iman sayang… itulah yang saya rasa bila awak sedikit pun tak mahu dengar apa yang hendak saya katakan tadi. Sekarang ni rasakan! Awak nak marah saya? Marah monyet? Marahlah, saya tak kisah pun. Awak tahu marah awak saja, marah ‘Abang’ awak ni awak tak tahu lagi. Mari kita sama-sama berlaga, kita tengok siapa yang akan menang nanti. Huhuhu, tapi walau apa pun, saya tahu, hanya saya yang akan menang Cik Iman sayang, buah hatiku intan payung…!’

 

“Ismail, saya tak tahu nak buat macam mana. Saya buntu memikirkan kehendak ibu, saya… saya terpaksa, maafkan saya Ismail…” Iman sudah mula menitiskan airmata.

“No! Begitu mudah! Awak ingat saya ni apa??? Patung? Batu? Tunggul? Tak ada perasaan???” Tingkah Ismail.

“Maafkan saya, maafkan saya Ismail… saya terpaksa Ismail…” Iman mula menangis perlahan.

“Terpaksa? Kalau terpaksa pun janganlah buat saya macam ni!  Kenapa tak berbincang dengan saya dulu, kenapa mesti buat keputusan melulu begitu? Apa saya ni tak bererti langsung pada awak, begitu?” Ismail masih pura-pura tidak faham.

“Ismail… saya…” Iman mengaduh lemah.

“Saya apa, hmm? Saya yang dikecewakan, begitu? Ceritakan pada saya, cepat!” Ujar Ismail seraya merapati Iman yang bungkam. Iman menjeling Ismail sekilas, geram disindir begitu!

 

Dalam sendu Iman menceritakan apa yang terjadi kepada Ismail. Bermula dari pinangan Pak Samad dan Makcik Zabedah untuk anak saudaranya beberapa minggu yang lalu, permintaan dan kata dua dari ibunya, pilihan yang dia ada sehinggalah kepada majlis yang bakal berlangsung pada penghujung tahun ini. Ismail tekun mendengar, tidak sedikit pun lelaki itu mencelah luahan hati seorang Iman. Sesekali terukir senyuman kecil di bibir merah Ismail dan setiap kali itu juga Iman akan mengeluh resah, tidak berperasaankah lelaki itu?

 

“Apa pilihan yang saya ada Ismail? Sungguh, saya buntu saat itu. Saya rasa bersalah sangat dengan awak. Maafkan saya, maafkan saya…” Rintih Iman perlahan.

 

Ismail terus merenung wajah gundah di sebelahnya. Oh, jadi inilah penyebab emosi gadis itu tidak menentu semenjak akhir-akhir ini. Patutlah bila dia telepon tak jawab, cakap pun acuh tak acuh saja. Sudah ada buah hati baru rupanya. Sudah bertunang dan bakal menjadi milik seseorang rupanya. Siapalah gerangannya lelaki yang bertuah itu? Ah, sudah gaharu cendana pula… Ismail mengukir senyuman, sembunyi-sembunyi, takut diketahui oleh gadis yang masih bersedih itu.

 

“Hei, janganlah menangis, buruk tahu tak, macam budak kecil saja.” Tegur Ismail. Perlahan Ismail mendongakkan wajah Iman yang sudah pun rambah dek airmata. Ingin diseka tapi Iman pantas menghalang.

“Jadi, sekarang ni awak nak saya jadi hero untuk selamatkan awaklah ya, hmm? Awak nak saya jadi siapa? Superman? Spiderman? Atau Doraemon barangkali? Mana satu yang sesuai untuk bawa awak lari agaknya ya?” Tanya Ismail selamba.

“Bukan, bukan itu maksud saya. Ismail, awak berhak untuk mendapat gadis yang lebih baik dari saya Ismail. Mungkin antara kita sememangnya tiada jodoh, saya redha, semuanya sudah ditakdirkan. Tapi, kita masih boleh berkawan, kan?” Iman tersenyum pahit, airmata yang menitis segera diseka dengan jarinya.

 

Sungguh, dia tidak minta lelaki itu untuk menyelamatkan dirinya. Dia cuma mengharapkan kemaafan dan pengertian dari Ismail, itu saja. Iman tidak mahu terusan diselubungi rasa bersalah. Sungguh, dia tidak boleh hidup dengan cara begitu. Bahagia bukan untuknya andai ada hati yang terluka. Iman pasti lelaki itu pasti terluka namun, ego seorang lelaki masih mampu menutupi kegundahan hati Ismail saat itu. Atau, mungkinkah dia sendiri yang tersilap membuat tafsiran?

 

“Iman, Iman… macam manalah awak nak jadi isteri saya kalau awak suka buat muka buruk macam tu, menangis tak sudah-sudah. Apek kat pasar borong pun tak nak, awak tahu tak. Entah apa yang di pandang anak sedara Pak Samad tu pun saya tak tahulah…” Ujar Ismail tenang sekali.

 

Airmata Iman yang laju menitis dikesat dengan jarinya perlahan. Sungguh! Ismail sudah tidak tahan melihat kesedihan yang jelas terukir di wajah polos Iman. Rembesan airmata Iman begitu menyentuh naluri lelakinya. Tapi, entah mengapa dia bagaikan sukar untuk menghentikan usikan, masih juga ingin menduga kesabaran Iman. Alah, bukan selamanya, hanya untuk malam ini saja!

 

“Ismail… sampai hati awak…”

“Iman sayang… be my wife?” Bisik Ismail romantis.

 

Iman terpana. Biar benar! Lelaki itu sudah gila agaknya. Apa dia ingat dengan mudah dirinya memutuskan tali pertunangan dengan… ah, dia pun tak tahu nama tunangan sendiri. Biar pun hampir dua minggu majlis kecil-kecilan itu berlangsung namun, Iman masih tidak mengenali gerangan tunangannya itu. Hanya Pak Samad dan Makcik Zabedah yang dikenalinya dari pihak lelaki. Cincin di jari manisnya diputar-putar perlahan. Kalau diikutkan hati, mahu saja dilucutkan dan dengan segera menerima lamaran dari Ismail itu. Namun, akal warasnya membantah keras. Dia manusia, tunangnya juga manusia lalu dia perlu saling memahami perasaan orang lain.

 

Tanpa sebarang kata Iman pantas meninggalkan Ismail di situ. Perlahan dia menyusup keluar secara senyap-senyap. Sungguh, dia tidak boleh berlama lagi di situ, luka di hatinya semakin parah!


Posted at 05:25 pm by ElleaNur
Make a comment  




Feb 21, 2006
BPB_44 :: TULUS KATA HATI ::

Ismail sudah menjangkakan semuanya ini akan terjadi. Dia sudah bersedia menerima kemarahan gadis itu semenjak dia mula merencanakan segala rancangan untuk mendekati gadis itu. Peristiwa di KL juga mengajar dirinya untuk lebih berhati-hati. Ismail sengaja bertindak mendiamkan diri, seminggu dia mengatur rancangan sebijaknya. Fikirnya, dia ingin menerangkan segalanya sewaktu ingin menjemput Iman tapi, ternyata nasib tidak menyebelahi dirinya. Iman rupanya sudah pergi bersama-sama Sufi dan Fahmi.

 

Dan kini, sekali lagi apa yang dirancang berantakan. Dia sudah memujuk, memohon maaf juga bersedia untuk menceritakan segalanya. Ismail cuba berlembut, mengalah namun, satu pun tidak diendahkan oleh Iman. Kedegilan Iman sebentar tadi benar-benar menguji dirinya, merapuhkan benteng kesabarannya lalu dia bertempik kuat. Ah, bukan salah dirinya seorang! Iman Nuraina yang membuatkan seorang Ismail Syafiq jadi begini.

 

“Psstt, psstt…”

 

Ismail pantas memusing kepala, cuba mencari dari arah manakah datangnya bunyian itu. Setelah diamati barulah dia dapat menangkap siapakah gerangannya pemilik suara itu. Pn. Dewi Fauziah! Dari sebalik pintu Ismail dapat melihat dengan jelas sebatang tubuh gempal milik uminya itu. Pasti wanita itu tidak sabar-sabar untuk mengikuti perkembangan terkini dari anak bujangnya ini. Ismail tersenyum kecil mengenangkan gelagat uminya itu.

 

“Bagaimana, ok?”

 

Dari jarak yang agak jauh Ismail masih boleh membaca gerak bibir uminya itu. Dia menarik wajah masam sambil menggeleng kepala lemah layak orang yang patah hati. Anak mata uminya direnung, memohon pertolongan kecemasan dari wanita yang berpengalaman itu. Ismail pasti mentor itu akan sentiasa membantu protégénya.

 

“Ikut kata hati Ismail. Umi akan doakan.” Balas Pn. Dewi Fauziah seraya menganggap ibu jarinya tanda memberi sokongan padu.

 

Ismail membalas dengan senyuman meleret, sekali lagi dia mendapat suntikan yang menaikkan semangatnya. Susuk tubuh Iman yang membelakangi dirinya diperhati penuh minat, dia juga menunggu kalau-kalau Iman sudah bersedia untuk berbicara dengannya. Atau, barangkali dia yang perlu memulakan bicara.

 

“Iman…”

“Ismail, saya ni degil, kepala batu, kan? Ya, saya ni memang tidak sebaik gadis lain, saya tidak sepadan dengan awak. Syukurlah awak telah menyedarkan saya. Kalau tidak sampai bila pun saya tak tahu akan keburukkan diri saya tu. Terima kasih banyak-banyak untuk pertolongan murni awak tu.” Iman pantas berkata.

 

Ismail tercengang memandang bibir mungil itu laju saja mengeluarkan berbicara. Fikirnya, Iman ingin membisu seribu tahun lagi. Tahu-tahu percakapannya selamba dipintas, lembut tapi sungguh berbisa! Ismail mulai perasan, perkara ini sememangnya jarang dilakukan oleh gadis pujaannya itu. So interesting!

 

“Iman, saya tak bermaksud…”

“Tak mengapa saya faham, kata-kata awak itu memang ada kebenarannya. Saya bukan gadis yang baik untuk awak. Nasib baik awak menyedarinya hari ini, kalau tidak mesti awak menyesal memilih saya, kan?” Sambung Iman meluahkan rasa yang ada di hatinya saat itu.

“Iman, maafkan keterlanjuran kata-kata saya tadi. Saya betul-be…”

“Ya, awak memang betul dan tidak perlu meminta maaf. Saya yang salah bukan awak.” Pintas Iman sekali lagi.

“Iman, saya tahu saya yang salah dan…”

“Dan... untuk pengetahuan awak, saya sudah pun menerima pinangan Pak Samad, rupa-rupanya Allah itu maha mengetahui, antara kita sememangnya tidak ditakdirkan untuk bersama, kan?” Lancar saja Iman mengeluarkan sebaris ayat itu, yakin sekali. Namun, apa yang ada di hatinya saat itu hanya Allah yang mengetahuinya.

 

Ismail bengang, dirinya langsung tidak diberikan peluang untuk bercakap. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Otaknya ligat berputar, sekali lagi merewang jauh dari rancangan asalnya. Ismail ingin lihat sejauh mana gadis itu dengan kedegilannya. Nampaknya, Ismail tidak perlu mempraktikkan cara lembut untuk memujuk gadis itu, tak jalan! Kini, dia tidak peduli, apa jua yang akan terjadi hari ini, saat ini, malam ini, Iman tetap akan menjadi miliknya. Itu kata hatinya!

 

“What? Pinangan? Pak Samad? Apa semuanya ni Iman???” Tingkah Ismail, berang tiba-tiba. Tubuh Iman ditarik rapat menghadap dirinya.

 

Iman tersentak, riaksi Ismail benar-benar membuatkan jantungnya hampir berhenti berdegup. Dia sudah menduga namun, tidaklah sehebat itu kemarahan yang dijangkakan. Iman menarik nafas dalam, mungkin inilah saat yang paling sesuai. Terlanjur sudah diberikan jalan jadi, tidak payahlah dia bersusah payah menyusun kata mahu pun bermanis mulut untuk memberitahu status dirinya kini kepada lelaki itu. Dan, segalanya pasti akan bernokhtah, itu yang sememangnya dia mahukan.

 

“Papa Is cepatlah… opss…” Terdengar suara Amira agak kuat. Iman mendongak menentang mata gadis yang kelihatan serba salah sekali, kalut, kerana rahsianya sudah terbongkar.

“Mira, jangan bimbang, sekejap lagi Papa Is masuk dalam. Mira teruskan aje majlis, ok.” Tenang saja Ismail menutur sebaris ayat itu. Tangan Iman yang merentap kasar supaya dilepaskan langsung tidak dihiraukan malah dengan selamba dia menguatkan cengkaman.

“Ismail!” Tegur Iman geram. Dia sakit diperlakukan begitu.

“Kak Aina…”

“Mira masuk, biar Papa Is yang terangkan semuanya.” Arah Ismail tegas.

“Kak Aina, maafkan Mira.” Mira segera berlalu.

 

Ismail selamba merenung wajah Iman yang gusar di depannya saat itu. Dia tidak terasa untuk mengeluarkan walau sepatah kata. Matanya meliar perlahan, dari anak mata yang bundar itu hingga ke bibir mungil yang sebentar tadi begitu ghairah berbicara. Pipi yang merona pekat itu membuatkan gadis itu bertambah cantik pada pandangan matanya.  Rambut yang lepas bebas menyerlahkan lagi keayuan pemiliknya. Tanpa sedar Ismail tenggelam di dalam keasyikkan dunia ciptaannya sendiri.

 

"Iman..." Sekelip mata tubuh Iman berada di dalam dakapan erat Ismail.


Posted at 01:12 pm by ElleaNur
Comments (2)  




Feb 8, 2006
BPB_43 :: AKU YANG TERTIPU ::

Iman mengenakan sepasang kurung berwarna hitam bercorak abstrak  berwarna merah jambu, wajahnya di solek nipis, rambut ikal potongan layered di biarkan terurai bebas. Dua ekor kelip berbentuk rama-rama menghiasi rambutnya. Penampilannya nampak begitu ceria sebagaimana layaknya majlis yang sedang berlangsung di sekelilingnya ketika ini. Ya, dia nampak gembira di mata para tetamu majlis hari ulang tahun Amira. Bibirnya tidak henti mengukir senyuman pada bibir yang melemparkan senyuman, wajahnya memancar ceria pada mata yang memandang. Namun, semua itu hanyalah lakonan semata. Ah, betapa hipokritnya dia! Tapi, Iman tidak dapat mengelak, perasaannya gundah, bagaikan ada satu beban yang menghempap kepala, rasa kesal yang merantai hatinya.

 

Sehingga hari ini, Iman masih belum berkesempatan untuk memberitahu Ismail Syafiq akan hal yang sebenar. Semenjak kejadian minggu lalu, masing-masing menyepikan diri. Keterlaluankah dia? Iman dibalut rasa bersalah, hatinya kesal kerana tidak menerangkan sebab sebenar meminta lelaki itu melupakan dirinya. Membayangkan wajah Ismail petang itu membuatkan Iman kegelisahan. Pandangan sayu mata lelaki itu begitu meruntunkan jiwanya. Tapi, bukankah itu yang dia mahukan, lalu, untuk apa dia perlu menyesal?

 

Mata Iman leka memerhati sekumpulan anak kecil yang sedang bermain di sudut taman rumah banglo sedehana besar itu. Suasana riuh dan kemeriahan yang dicetuskan oleh mereka  membuat Iman sedikit teruja. Sebentar tadi dia sudah pun diperkenalkan dengan mereka oleh Amira. Tanpa sedar Iman mengorak langkah mendekati kumpulan itu. Ada sesuatu yang mendorong, menarik minatnya untuk segera ke arah itu. Anak-anak kecil itu seakan sedang bergaduh, mengusik dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

 

"Auni, kenapa menangis sayang? Siapa yang usik Auni?" Tanya Iman lembut sebaik mendapatkan anak kecil yang sedang menangis itu.

"Shafie yang tolak Baby Auni sampai jatuh tadi, Kak Aina." Husna pantas menjawab bagi pihak Auni. Iman mencari wajah Shafie.

"Bukan Shafie sorang yang tolak Baby Auni, Milly pun sama tadi, Kak Aina." Jawab anak lelaki berusia 5 tahun itu.

"Husna nampak Shafie yang tolak Baby Auni tadi, bukannya Milly." Balas Husna tidak mahu kalah.

"Betul ni Shafie yang tolak Baby Auni?" Tanya Iman.

 

Wajah Shafie merah menahan tangis. Iman tersenyum dalam hati. Dia mengangkat Auni, duduk meriba anak kecil itu di kerusi yang ada di sudut taman itu. Siapalah dia untuk menghukum anak kecil yang barangkali bersalah itu. Luka di kaki Auni di belek, sedikit darah mengalir keluar, anak kecil itu masih lagi menangis kesakitan. Pujukkan Iman tidak mampu menghentikan tangisan anak kecil itu. Apa yang harus dia lakukan?

 

"Auni, jangan menangis, diam ya sayang. Nanti Kak Aina ubatkan luka Auni ya, Auni…" Iman masih berusaha memujuk.

"Hah, tu pun Papa Is. Husna nak cakap kat Papa Is, Husna nak suruh Papa Is marah Shafie." Husna tiba-tiba mencelah.

"Husna, ja…" Iman cuba menghalang namun tidak sempat.

"Papa Is, tadikan… Shafie tolak Baby Auni sampai jatuh. Lutut Baby Auni luka, Papa Is." Husna mengadu kepada seseorang yang di panggil 'Papa Is'.

"Milly pun sama Papa Is, bukan Shafie seorang aje." Tambah Shafie pula.

 

Iman segera mengekori pandangan mata Husna kepada seseorang yang di maksudkan sebagai 'Papa Is' di belakangnya. Mulutnya sedikit ternganga. Ah! Lelaki itu. Kenapa dia berada di sini? Dan kenapa anak-anak kecil ini memanggilnya Papa Is. Apa hubungan anak-anak kecil yang berempat ini dengan diri lelaki itu? Siapa pula Amira? Iman tiba-tiba terfikirkan sesuatu. Dia mula mendapat jawapan untuk setiap persoalan yang bermain di benaknya, semuanya terlayar kembali, satu persatu, berturut-turut, berulang-ulang, begitu menyesakkan dadanya. Tiba-tiba tubuh Iman bergetar, geram. Tiba-tiba hati Iman berdenyut, sakit.

 

Iman memandang tajam kepada lelaki yang kini telah pun berada di depannya, duduk bertinggung lutut memeriksa luka kecil di lutut Auni yang berada di ribaannya. Wajah itu kelihatan selamba, sedikit pun tidak memaparkan riak terperanjat mahupun rasa bersalah. Sempat lagi lelaki itu melemparkan senyuman manis kepada dirinya. Iman menarik wajah tegang, hatinya berdenyut kembali, tingkahnya berubah kaku, lidahnya kelu.

 

"Shafie, Milly, both of you come here. Husna, you too." Arah 'Papa Is' serius.

"Cakap dengan Papa Is, kenapa Shafie dengan Milly tolak baby Auni? Tengok, sekarang apa dah jadi dengan lutut Baby Auni, berdarah kan? Dah banyak kali Papa Is pesan, jangan suka bergaduh tapi, semua tak nak dengar ya. Nak Papa Is cakap dengan Baba Shafie ke, hmm?" Marah 'Papa Is' lagi.

"Tapi Papa Is… Shafie …Shafie…" Kemarahan lelaki itu benar-benar membuatkan anak kecil itu ketakutan.

"Shafie apa?" Soal Ismail, sekilas dia melirik ke arah Iman lalu mengenyit mata nakal. Iman mencebik bibir.

"Shafie tak sengaja, Shafie ter… tertolak aje, kan Milly, kan?" Laju Shafie berkata. Milly di sebelahnya mengangguk laju.

"Betul ni 'ter' bukan sengaja?" Tanya Ismail meminta kepastian.

"Betulll Papa Isss... Kenapa tak percaya?" Jawab Shafie dan Milly berlagu panjang. 

 

Shafie dan Milly tersengih memandang lelaki yang di panggil Papa Is itu. Ismail maintain serius sedangkan di dalam hati bagaikan ingin meledak ketawanya dengan telatah lucu anak buahnya yang berdua itu. Iman tersenyum kecil melihat gelagat mereka. Anak kecil memang begitu, ada saja helah mereka untuk melepaskan diri. Dia kembali serius tatkala 'Papa Is' menjeling sekilas ke arahnya. Namun, jelingan itu tidak sedikit pun melenyapkan api kemarahan yang kini memenuhi hatinya sebaik teringatkan tipu muslihat lelaki itu selama ini.

 

"Ok, now minta maaf dengan Baby Auni cepat. Lain kali jangan buat lagi, faham tak?" Pesan lelaki itu lagi, lebih lembut dari tadi. Auni tertawa kecil apabila Shafie dan Milly menghulurkan tangan kepadanya dan berlalu dari situ.

"Oh, Auni suka ya Papa Is marah Shafie dengan Milly. Sini, kiss pipi Papa Is cepat." Usik lelaki itu seraya mengambil Auni dari ribaan Iman.

 

Iman bangun, dia ingin segera berlalu dari situ tapi, lelaki itu lebih pantas bertindak, laluannya di halang, tangannya di cengkam erat, sedikit pun tidak memberi peluang untuk Iman melepaskan diri. Sudahnya, dia berdiri kaku di sisi lelaki itu.

 

"Terima kasih Kak Aina." Ucap Auni. Dalam kemarahan Iman berusaha menghadiahkan sebuah senyuman untuk anak kecil itu.

"Bukan Kak Aina tapi, Mama Iman sayang. Mama Iman, ok?" Ajar Ismail pada Auni yang masih dalam dukungannya.

"Jangan nak perasan!" Tingkah Iman, suaranya di tahan.

"Bukan perasan tapi kenyataan sayang..." Bisik Ismail selamba di telinga Iman. 

 

'Antara kita sudah tiada apa-apa lagi Ismail! Diri saya adalah milik orang lain. Hujung tahun ini kami akan berkahwin!'

 

Ingin saja Iman meluahkan kata-kata itu, melepaskan apa yang ada di dadanya saat itu. Dia tidak mahu terusan membohongi lelaki itu, apatah lagi mewujudkan perpisahan yang tidak bersebab. Iman kembali bungkam di kerusi batu, wajahnya memandang sekeliling, tempat itu agak terlindung dari ruang majlis.

 

"Mama Iman, Mama Iman marah Papa Is eh?" Bibir mungil Auni bertanya. Iman tersenyum hambar. Pandangan redup Ismail tidak diendahkan.

"Papa Is, Papa Is pujuklah Mama Iman cepat." Comel aje bibir Auni berbicara.

"Papa Is pulak? Auni lah yang pujuk Mama Iman untuk Papa Is, boleh?" Ismail mengerutkan mukanya. Sekilas dijelingnya wajah Iman yang semakin cemberut masam. Alamak!

"Ala… Papa Is lah, Mama Iman kan makwe Papa Is, cepatlah Papa Is… tengok, Mama Iman dah nak nangis tu." Tutur Auni, bibirnya memuncung ke arah Iman.

 

Ismail memandang ke arah Iman yang tunduk merenung rumput. Dia tahu gadis itu benar-benar sedang marah, rona yang memancar di wajah polos itu menggambarkan segala yang ada di dalam hati Iman saat itu. Perlahan-lahan Ismail mengatur langkah menghampiri Iman, dia berdiri tegak di hadapan Iman yang masih menyembunyikan wajahnya dari pandangan mata hitamnya. Susuk gadis itu diamati lama. Kalau ikutkan hati mahu saja Ismail membawa tubuh itu ke dalam pelukannya, meleraikan rindunya sekalian mengusir kemarahan yang bersarang di dalam jiwa yang satu itu.

 

"Cepatlah Papa Is, kesian kat Mama Iman. Papa Is tak sayang Mama Iman ya?" Auni di dalam dukungannya membisikkan sesuatu di cuping telinga Ismail.

"Sayang, Papa Is sayang sangat tau. Tapi, macam mana Papa Is nak pujuk, Auni menyibuk aje kat sini, kacau daun betul!" Bisik Ismail pula, Auni tertawa mengekek.

 

"Iman sayang… maafkan saya. Saya akan terangkan segalanya selepas majlis ini nanti, ok? Sekarang ni, jom kita masuk ke dalam dulu. Mari sayang." Pujuk Ismail, tangan Iman dicapai lembut. Iman pantas menarik kasar tangannya.

"Iman…  masih marah saya ya, hmm?" Tanya Ismail sekali lagi. Auni di letakkan di antara mereka. Terkebil-kebil anak kecil itu memandang mereka berdua.

"Taklah. Sakit hati, geram, bengang aje!" Jawab Iman selamba. Dia bingkas berdiri melangkah ke sudut taman.

 

Iman menarik nafas panjang, cuba meredakan perasaannya. Lelaki itu pula duduk bergurau dengan si kecil Auni yang keletah dan manja, membiarkan Iman melayan perasaan di sudut taman itu. Tanpa sedar, Iman lupa akan satu hakikat. Siapa dia sebenarnya untuk memarahi lelaki itu? Apa haknya ke atas lelaki itu? Tapi, hatinya sakit, bengang dengan pembohongan Ismail itu walau di antara mereka mungkin sudah tiada apa-apa hubungan yang serius. Dia tidak marahkan Amira kerana Iman pasti gadis itu hanya menurut kata lelaki itu.

 

"Iman…" Panggilan Ismail menyapa cuping telinganya perlahan.

"Ismail, sampai hati awak mempermainkan saya, awak tipu saya. Saya rasa di perbodohkan awak tahu tak! Rupa-rupanya selama ini awak dengan Mira berpakat untuk…" Iman kematian kata-kata.

"Untuk apa sayang?" Tanya Ismail sambil cuba meraih pinggang ramping Iman tapi di tepis kasar oleh gadis itu. Ismail ingin memujuk tapi nampaknya Iman benar-benar sedang marah.

"Jangan nak bersayang-sayang dengan saya, antara kita sudah tiada apa-apa lagi, dasar penipu!" Tingkah Iman, tubuh Ismail ditolak ke tepi, dia mula menjauhi lelaki itu.

 

Tubuh Ismail terdorong ke belakang hampir saja terjatuh namun, dia masih mampu mengimbangi badannya untuk terus berdiri. Ismail masih boleh tersenyum dan dia masih boleh bersabar dengan perbuatan Iman itu. Ismail pasti, kemarahan gadis itu tidak akan ke mana dan, dia sendiri akan terusan memujuk. Kemarahan tidak boleh diadukan dengan kemarahan, itu pesan uminya sebentar tadi. Tapi, tengoklah macam mana nanti. Selagi boleh bertahan, dia akan bersabar.

 

"Iman, dengar du…"

"No, tak payah! Saya sudah tahu segalanya. Awak memang penipu!" Bantah Iman seraya menutup kedua-dua telinganya.

"Iman, please sa…"

"No!!! Saya tak mahu dengar apa-apa lagi. Awak tak faham ke?" Tingkah Iman.

"Iman, awak kena dengar dulu penjelasan saya ni. Lepas tu kalau awak nak marah pun marahlah. Bukan maksud saya nak me…"

"Ah, awak memang penipu! Awak memperbodohkan saya! Pergi, pergi jangan dekati saya! Penipu!" Jerit Iman agak kuat sekalian mematikan langkah Ismail.

"Hei! Kenapa awak ni degil sangat hah??? Susah sangat ke awak nak dengar apa yang saya nak cakapkan ni! Kepala batu betul!" Marah Ismail. Ismail jadi berang dengan kedegilan Iman saat itu.

"What? Saya degil? Kepala batu? Oh..."

"Arghhh!!! Dasar perempuan!" Tempik Ismail lantang sekali. Wajahnya merah, tegang menahan kemarahan.

 

Iman terpana dengan tempikan Ismail itu. Tubuhnya menggeletar menahan rasa. Dia sama sekali tidak menyangka yang Ismail akan mengeluarkan kata-kata yang sebegitu ke atas dirinya. Iman pantas memandang sekeliling, mujur juga suasana sedikit hingar dengan dendangan lagu karaoke dari tetamu Amira. Iman terduduk lemah, lega kerana pergaduhan mereka tidak didengari oleh orang lain. Tapi, bagaimana dengan... Auni? Ya Auni. Ah, bagaimana dia boleh tidak menyedari wujudnya anak kecil itu di antara mereka berdua. Pantas Iman memandang ke arah Auni, anak kecil itu kelihatan benar-benar takut, airmata sudah pun merembes keluar.

 

"Ya Allah, Auni sini sayang, maafkan Kak Aina. Jangan menangis ya." Pujuk Iman. Tubuh kecil itu dibawa dalam pelukannya.

"Auni takut… Papa Is marah…"

"Auni tak perlu takut, Kak Aina ada. Jom, Kak Aina hantar Auni masuk dalam jumpa mama. Mari sayang." Pujuk Iman. Tubuh Auni segera didukung. Dia menghampiri Ismail, seketika dia hanya mampu merenung wajah Ismail. Nafas ditarik panjang.

"Awak tunggu kat sini, saya ada sesuatu nak cakap dengan awak." Pesan Iman seraya mula mengorak langkah.


Posted at 12:35 pm by ElleaNur
Make a comment  




Jan 25, 2006
BPB_42 :: IRIS ::

Pn. Dewi Fauziah mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Suaminya, Tn. Ibrahim sedang menonton berita, langsung tidak menghiraukan isterinya yang tidak tahu duduk diam itu. Dia mengantuk sebenarnya tapi, dek kerana dipaksa oleh isterinya untuk sama-sama menunggu kepulangan Ismail lalu, dia sedari tadi duduk termagu di sofa itu. Tn. Ibrahim sudah lali dengan perangai isterinya yang sememangnya begitu. Apa saja yang berkaitan dengan Ismail Syafiq, anak bujang tunggal mereka akan membuatkan isterinya itu bagaikan cacing kepanasan.

 

"Ya Allah, Abang… awak ni tak risau ke? Tengok sudah pukul berapa ni, Ismail tak balik-balik lagi. Saya risaulah Bang…" Bebel Pn. Dewi Fauziah.

"Alah… biasalah orang bujang Dewi, lagi-lagi malam-malam minggu begini. Janganlah risau, sekejap lagi baliklah si Ismail tu." Balas Tn. Ibrahim.

"Hish, awak ni memang, tak pernah nak risaukan pasal Ismail tu! Selalu tu dia telepon saya kalau balik lambat ke apa ke. Tapi, hari ni senyap aje, saya telepon tak dapat pulak, di 'off' nya pulak handset tu. Ismail... manalah kamu pergi ni nak... Ya Allah, lindungilah anakku..."

"Dewi… boleh tak awak bersabar sikit." Pujuk Tn. Ibrahim, isterinya risau mengalahkan Ismail itu anak kecil, macamlah anak bujang itu tidak pernah balik lambat sebelum ini. Dia mula menguap, Sekilas jam dinding diperhati, baru pukul 1.30am.

 

Seketika kemudian, Pn. Dewi pantas berlari keluar sebaik mendengar deruman kereta Ismail memasuki perkarangan rumah mereka. Dia melepas senyuman lega sebaik memandang wajah Ismail di dalam kereta.

 

"Ya Allah Ismail, ke mana saja kamu pergi sampai jam sebegini baru balik, Umi risau tahu tak." Sergahnya sebaik Ismail berdiri di depan matanya.

"Alah Umi ni, Ismail tak ke mana pun, pergi Sarang Murai aje tadi." Jawab Ismail.

"Kenapa tak bagitahu Umi? Kenapa bila Umi telepon tak dapat?" Tanya Pn. Dewi Fauziah lagi.

"Bateri kong." Balas Ismail malas, dia tiada mood sebenarnya untuk bercakap banyak.

"Bertuah punya anak, buat Umi risau saja. Bagaimana tadi? Kamu sudah cakap dengan…" Ismail pantas menggeleng kepala.

 

Terlopong mulut Pn. Dewi Fauziah. Patutlah Ismail pulang lewat. Dia sudah menjangkakan semenjak siang tadi, hatinya terasa tidak enak sekali. Kini, Ismail nampak sugul di matanya. Sungguh! dia turut dapat merasakan kesedihan yang dialami Ismail itu.

 

"Tak mengapa, mari masuk dulu. Ismail sudah makan?" Pn. Fauziah meraih tangan Ismail, mendorong anak muda itu masuk ke dalam rumah.

"Belum. Umi masak lauk apa hari ini?" Tanya Ismail.

"Sambal ketam, terung goreng aje. Umi panaskan ya?"

"Erm… Ismail lapar sangat ni, dari siang tadi tak makan tau Umi." Adu Ismail.

"Siapa suruh tak makan? Kalau ya pun bergaduh dengan buah hati janganlah sampai tak makan. Ismail kan ada gastrik, sakit nanti Umi juga yang susah, kan?" Bebel Pn. Dewi Fauziah.

"Tulah pasal, ingat nak makan dengan dia tapi… sekali tak jadi pulak. Ismail 'ter'cium dia Umi, dia marah gila-gila, terus balik, tak sempat Ismail nak cakap satu apa pun. Tu yang Ismail geram sampai balik lambat ni." Jawab Ismail selamba.

 

Pn. Dewi fauziah menggeleng kepala, dia masak sangat dengan perangai Ismail, kalau marah atau punya masalah begitulah jadinya. Duduk bertapa di 'Sarang Murai' lah gamaknya anaknya itu. Entah apa yang Ismail suka sangat ke tempat itu agaknya, hendak kata cantik, tak adalah sangat, hutan rimba! Tapi, kalau untuk mencari ketenangan dan kedamaian jiwa tempat itu memanglah sesuai sangat.

 

"Betul ni 'ter' bukan kamu sengaja Ismail?" Duga Pn. Dewi Fauziah, dia kurang percaya dengan cerita Ismail tadi.

"He he he… entah, 'ter' ke sengaja ek, tak perasan pulak Ismail Umi. Tapikan Umi, bukan salah Ismail seorang, dia yang menggoda sangat…"

"Kamu ni Ismail, cuba ubah-ubah sikit perangai kamu tu. Jangan-jangan Ismail yang paksa dia tak ni, hmm? Tu yang dia marah sangat agaknya." Tegur Pn. Dewi Fauziah.

"Tak adalah Umi. Ismail tak paksa pun. Lagi satu kan Umi, ada ke Iman suruh Ismail lupakan dia, apa ingat senang ke, susah-susah Ismail dapatkan dia, habis tu nak lupakan macam tu ajer, mana boleh, kan Umi?"Jawab Ismail sambil meneruskan suapannya. Pn. Dewi tersenyum gelihati mendengar jawapan Ismail itu.

 

Ismail terlentang kekenyangan di atas sofa. Uminya masih di dapur membancuh minuman panas untuk mereka berdua. Dua unit hanphone Nokia miliknya di atas meja diambil, memeriksa kalau-kalau ada pesanan SMS baru yang diterima. Kosong! Ismail mengeluh hampa, dicampaknya kedua-dua benda itu semula ke atas meja.

 

"Telepon tak jawab, bagi SMS tak balas, geram betul!" Rungut Ismail.

 

Ismail masih lagi mundar-mandir di ruang tamu. Mulutnya tidak berhenti merungut marahkan Iman juga dirinya. Tidak sabar rasanya untuk menanti malam membukakan tirai, dia ingin segera bertemu muka dengan Iman. Ingin dirungkaikan segala-galanya.

 

"Apa yang kamu marahkan tu Ismail?" Tegur Pn. Dewi Fauziah.

"Imanlah Umi. Geram betul Ismail. Banyak kali Ismail call, satu pun dia tak jawab! 'Abang' dia bagi mesej pun tak reply! Sedap sangat agaknya tidur dekat rumah Haziq tu!" Jawab Ismail dengan nada geram.

 

Ismail menarik wajah tegang, hatinya sakit. Selebihnya, Ismail sebenarnya cemburu sebaik mengingatkan hubungan yang wujud di antara Iman dengan lelaki yang bernama Imran Haziq itu. Sungguh, kemesraan mereka membuatkan Ismail rasa tercabar, hati terbakar, kemarahannya membara sekali.

 

"Oh, ni kira kes Ismail marah, encik 'Abang' cemburulah ya. Tak mengapa, bawak bersabar, ok? So, sekarang apa kata kalau kita bincangkan strategi yang seterusnya, mahu?" Usul Pn. Dewi Fauziah.

"Ok, we proceed to our next plan. Ismail tak kira, lepas ni mesti berjaya dengan jayanya. Usaha tangga kejayaan, kan Umi?" Sahut Ismail penuh bersemangat sekali.

"Erm... macam tulah baru namanya anak lelaki Umi. Kita ni Ismail, hidup jangan cepat berputus asa. Selagi boleh berusaha kita usahakan, kejayaan tidak akan pernah datang bergolek. Dan, Umi akan sentiasa membantu dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anak Umi. Ismail tahu itu kan?" Ujar Pn. Dewi Fauziah berbaur nasihat. Ismail mengangguk mengiyakan apa yang dikatakan oleh uminya itu.

 

Pn. Dewi Fauziah tersenyum senang hati. Dia bagaikan kembali ke zaman sewaktu Ismail masih berada di alam persekolahan. Mereka dua beranak kerapkali berjaga sehingga lewat malam. Setiap kali menjelang peperiksaan dia pasti akan menemani anak bujangnya itu menelaah pelajaran, memberi tunjuk ajar juga semangat untuk Ismail mencapai kejayaan. Hanya Ismail, satu-satu anaknya yang gemar mengulangkaji pelajaran pada waktu larut malam sehingga lewat pagi manakala, ketiga-tiga anak perempuannya lebih senang menggunakan waktu siang untuk menyempurnakan tugasan mahupun menelaah pelajaran mereka. Dan hari ini, saat itu berulang kembali.

 

"So, wish you all the best. Good luck!" Ucap Pn. Dewi Fauziah seraya berlalu ke biliknya. Pasti suaminya bising kalau dapat tahu dia berjaga sehingga selewat ini.

"Ok, thanks ya Umi." Balas Ismail dengan senyuman meleret.

 

INGAT!

 

1.  Ismail TIDAK BOLEH berjumpa, SMS mahupun telepon dia sepanjang minggu ini, buat-buat merajuklah kononnya. (Mengikuti perkembangan dari orang yang dipercayai adalah dibenarkan)

2.  Abang BOLEH SMS dia tapi, TIDAK BOLEH telepon dia.

3.  Ismail TIDAK BOLEH cemburu tapi, Abang DIBENARKAN (itupun kalau perlu!)

4.  Abang TIDAK BOLEH wujud sehingga waktu yang sesuai tapi, Ismail DIBOLEHKAN (itupun kalau kebetulan terserempaklah.)

5.  Selebihnya adalah TERTAKLUK kepada keadaan, tempat dan masa (Mesti rasional!)

6.  Bertindak mengikut arahan. (Umi-MENTOR, Ismail-Protégé)

 

Satu persatu kesimpulan perbincangan dengan uminya dihafal oleh Ismail. Bolehkan dia mempraktikkan apa yang telah ditetapkan oleh uminya itu? Tapi, selalunya, arahan dan kata-kata uminya jarang sekali gagal. Cuma petang tadi saja, itupun salah itu berpunya dari dirinya sendiri. Dia yang gatal-gatal pergi cium gadis itu, siapa suruh! Tapi, hatinya sudah tidak tertahan, sesak menanggung rindu. Tapi, bukan juga salah Ismail sepenuhnya, kedinginan dan kemesraan antara Iman dengan Haziq membuatkan dia bertindak begitu.

 

CD lagu terbaru nyanyian Awie dimainkan perlahan  menemani tidurnya. Bibir Ismail mengikuti bait-bait lagu IRIS itu, penuh perasaan bagaikan melahirkan perasaannya yang sebenar kepada gadis yang bernama Iman Nuraina itu.

 

IRIS-AWIE

 

Kau masih ku cintai
Sungguh...
Dari awal dulu hingga hari ini
Aku pasti seyakinnya pasti
Kaulah satu untuk ku
Kau masih dewi hatiku
Sungguh...
Biar sejuta parut hilang di hati
Usah gusar sayang, usah ragu
Aku milikmu

Cintaku

Jika kau tanya pada bintang
Kemilauan sinar tak kan hilang
Akan aku sinari dunia mu
Moga terpadam sangsimu

Cintaku
Jika kau lihat tingginya awan
Takkan tercakar tinggi cintaku
Hanya hatiku tahu apa mahuku
Dan dunia ku pastinya milikmu
Hingga ke akhir hayatku

Kau masih ku cintai
Sungguh...
Dari hari pertama kau ku nikahi (eh belum lagi!)
Aku pasti yakin dan pasti
Engkau milik ku

Aku Cinta Padamu… (Iman Nuraina!!!)

 


Posted at 10:39 am by ElleaNur
Make a comment  




Jan 19, 2006
BPB_41 :: SELAMAT TINGGAL SAYANG ::

Ismail memandu tenang, Iman di sebelah menarik muka tegang. Iman lebih rela kedua-dua biji matanya memandang ke luar tingkap sepenuhnya daripada membenarkan ekor matanya melirik ke arah lelaki yang telah menyakitkan hatinya sebentar tadi. Iman malu diperlakukan seperti anak kecil oleh Ismail. Dia seolah-olah anak liar yang kabur dari pengawasan ibubapa oleh berpuluh pasang mata yang memandang di perhentian bas DBP. Ismail mengheret, memaksanya, menghenyak tubuhnya ke dalam kereta. Iman membantah, Ismail memaksa malah lebih teruk lagi, lelaki itu bertindak mencempung tubuhnya!

 

"Iman, kenapa nak marah-marah ni? Kalau dengan Haziq boleh pulak awak senyum, berbual mesra tapi, dengan saya..." 

"Suka hati sayalah nak marah ke tidak, nak senyum ke tidak, nak berbual mesra ke tidak, diri saya, saya punya sukalah, awak peduli apa!" Balas Iman geram.

"Eh memanglah saya peduli. Apa hubungan awak dengan dia? Siap boleh tinggal kat rumah dia lagi. Kenapa? dekat KL ni dah tak ada hotel lagi ke? Apa awak ingat saya ni tak ada perasaan, saya cemburu tahu tak! Lagipun, ingat, awak tu…"

"Saya apa?" Pintas Iman.

"Awak tu perempuan, Haziq tu lelaki, bahaya. Macam-macam boleh terjadi, faham???" Tekan Ismail, dia geram dengan Iman yang kini sudah pandai menjawab dengan kata-kata yang berbisa.

"Habis, awak dengan Haziq tu tak sama ke? Tengok, apa yang awak dah buat pada saya sebentar tadi. Mengata orang konon, entah-entah awak tu yang lebih bahaya daripada dia!" Balas Iman selamba.

"Memanglah sama tapi saya ni…"

 

Ismail kematian kata-kata untuk terus berhujah. Ya, sebentar tadi dia memang benar-benar naik angin. Ismail bengang, Iman boleh buat muka selamba, buat-buat tidak kenal pulak akan dirinya yang terjerit-jerit memanggil nama gadis itu sedari tadi. Kesudahannya, dia terpaksa bertindak kasar dan kini mahu atau tidak Iman sudah pun berada di sisinya. Ismail tersenyum megah walau hatinya sedikit gundah, takut andainya Iman semakin dingin dengan dirinya.

 

"Iman… kenapa mesti begini? Awak seolah-olah ingin menjauhi diri saya? Awak membenci saya, hmm?" Tanya Ismail setelah mampu menenangkan perasaannya.

"Memang, memang saya bencikan awak! Awak memalukan saya! Apa awak ingat saya ni budak mentah? Sesuka hati awak aje nak buat apa pada saya! Awak paksa saya! awak heret saya! awak peluk saya depan orang ramai, saya malu tahu tak!!!" Marah Iman, suaranya tersekat-sekat menahan gelora marah yang kini sarat di dalam hatinya.

"Iman, maafkan saya ok?"

"No, saya bencikan awak!!!" Jerit Iman.

 

Iman mengetap bibir kuat. Geram! Mulutnya begitu lancang menuturkan kata-kata berbisa itu. Iman tidak membenci lelaki itu, tidak sekali-kali. Hanya dirinya yang menjadi kebencian baginya saat ini. Iman bencikan perasaan yang sedang berkocak hebat di dalam hatinya. Redup mata itu begitu didambakan, suara garau itu begitu menusuk kalbunya. Pendek kata, segala yang ada pada lelaki itu begitu menghantui hidupnya. Sudah berapa minggu Iman menyekat kerinduan yang cuba bertandang, dia ingin menjauhi lelaki itu tapi, dalam masa yang sama dia berdoa untuk tidak kehilangan. Ah, betapa tamak dan hipokritnya dirinya.

 

"Betul, awak bencikan saya ni, hmm sayang?" Tanya Ismail. 

 

'Oh no, saya cintakan awak!!!' Hati kecil Iman melaung kuat.

 

Ismail mengulum senyum. Masakan Iman membenci dirinya. Marah-marah sayang adalah. Ismail terbayangkan tindakan beraninya sebentar tadi namun dia diam, tidak berani untuk berkata lanjut. Ismail tidak mahu mencurah minyak ke atas api yang sedang marak, bimbang dirinya sendiri yang rugi. Sekilas dia menjeling ke arah jemari Iman, ada sesuatu yang menarik matanya untuk berlama di situ. Kilauan itu begitu memikat pandangan. Perlahan dia mencapai jemari halus dan runcing itu. Iman merentap namun tangan sasanya kejap tidak dilepaskan walau seinci.

 

"Iman, cincin apa ni? Cantik." Puji Ismail. Iman diam tidak menjawab.

"Iman… cincin apa ni sayang? Macam cincin tunang saja ni. Awak sudah bertunang ya?" Teka Ismail pula. Dia memusing-musingkan cincin itu perlahan-lahan. Muat-muat saja. Ada rasa halus yang menyelinap ke dasar hati Ismail saat itu.

 

Berdesing telinga Iman, darah segera menyerbu ke muka, nafasnya bagaikan tersekat di kerongkongan. Bibir merahnya bergetar menahan rasa gentar yang terbit di dada. Sudah tahukah lelaki itu? Iman memejamkan matanya tatkala Ismail bertindak mencium lama cincin di jari manisnya itu. Sungguh! Iman rindu. Pergerakkan tubuhnya mulai longlai, hatinya bagaikan membenarkan saja apa yang di lakukan oleh Ismail saat itu.

 

"Ismail! Apa yang awak buat ni hah???" Jerit Iman sebaik terasa ada sebuah ciuman lembut yang mendarat di pipi kanannya.

 

Wajahnya merona pekat. Pantas dia merentap kuat tangannya dari genggaman sasa lelaki itu. Tubuh Ismail ditolak menjauhi dirinya. Iman diserang rasa bersalah. Curangkah aku? Perempuan jenis apakah aku ini? Tega-teganya aku membenarkan lelaki itu menciumi wajahku! Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini?

 

"Iman…"

"Turunkan saya! Turunkan saya cepat! Turunkan saya Ismail! Saya benci awak! Saya benci!!!" Jerit Iman bagaikan diserang histeria.

 

Berjuraian airmata Iman. Tangannya berusaha membuka pintu kereta walaupun dihalang oleh Ismail. Dia berjaya akhirnya sekalian memaksa Ismail memberhentikan keretanya di pinggir jalan secara mengejut. Tanpa berlengah dia pantas turun untuk mendapatkan teksi. Bagaikan dirancang, sebuah teksi berhenti di depannya.

 

"Iman, sabar dulu sayang. Dengar apa yang saya nak cakapkan ni. Saya ada sesuatu nak beritahu awak. Iman…" Pujuk Ismail sambil cuba menghalang perjalanan Iman.

"No, awak tak perlu cakap apa-apa malah awak tak bersalah apa-apa pun dengan saya. Cuma, satu yang saya minta, tolong lupakan saya Ismail, lupakan saya." Balas Iman tegas.

"Tapi, kenapa? Apa-apa pun awak kena dengar dulu penjelasan saya. Iman… please sayang, dengarlah apa yang saya nak cakapkan ni. Iman…"

"Tak ada apa-apa dan saya tak mahu dengar apa-apa. Thanks for everything." Iman memandang wajah Ismail buat kali terakhir, dirauti wajah itu sedalamnya. Tidak dipeduli sinar mata yang penuh mengharap itu.

 

'Selamat tinggal sayang…'

 

Sepanjang perjalanan Iman menangis hiba. Pakcik teksi yang memandu memandang pelik namun, Iman tidak peduli, bukan dia kenal pun dengan orang tua itu, lalu, tangisannya bertambah sayu lagi haru. Telepon berbunyi menandakan ada SMS diterima.

 

'Aina, di mana sayang? Everything ok kan? SMS Abang kalau sudah tiba dirumah.'

 

Iman tidak membalas. Dia merengus tanda tidak puas hati. Lelaki ini pun satu hal, semenjak bertunangan tidak pernah mahu menghubunginya, asyik berbalas SMS saja, Iman bosan! Pada mulanya dia senang namun, lama kelamaan dia jadi sakit hati. Iman ingin mencurahkan perasaan tapi, pada siapa?

 

Pakcik teksi itu mencuri pandang anak gadis yang sedang melayan perasaan sedih. Ingin bertanya, dia takut dimarahi. Tapi, dia kenal dengan lelaki yang mengejar gadis itu sebentar tadi. Mereka pernah beberapa kali berjumpa dan berbual mesra. Anak muda itu kelihatan baik pada pandangan mata tuanya. Adakah gadis ini yang seringkali diceritakan oleh anak muda itu kepadanya? Tapi, apa yang telah terjadi? Mungkinkah sesuatu yang buruk telah dilakukan oleh anak muda itu pada gadis ini?  Alah, adat orang bercinta, bergaduh dan berkelahi itu asam garam kehidupan mereka, esok-esok berbaiklah semula.


Posted at 10:49 am by ElleaNur
Comment (1)  




Next Page

\0_ :: WELCOME :: _0/
   
:: BADAI PASTI BERLALU ::

Awan hitam
Di hati yang sedang gelisah
Daun-daun berguguran
Satu-satu jatuh di pangkuan

Ku tenggelam sudah
Ke dalam dakapan
Semusim yang lalu
Sebelum ku mencapai
Langkahku yang jauh

Kini semua bukan milikku
Musim itu telah berlalu
Matahari segera berganti

Gelisahku menanti
Titis embun pagi
Tak kuasa ku memandang
Dikau matahari

Kini semua bukan milikku
Musim itu telah berlalu
Matahari segera berganti

Badai pasti berlalu
Badai pasti berlalu
Badai pasti berlalu









Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed
online





<bgsound src="http://www.geocities.com/lupey_107/cyndi-ai_ni.mid" loop=infinite> Free Web Counter
Free Hit Counter